Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Utusan Melayu tamat operasi hari ini akibat masalah kewangan

Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, yang juga penerbit akhbar harian Utusan Malaysia dan Kosmo, menamatkan operasinya hari ini (9 Okt) selepas mengalami masalah kewangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Utusan Melayu tamat operasi hari ini akibat masalah kewangan

Utusan Melayu kini berdepan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang. (Gambar-Gambar: Lim Huey Teng/Reuters)

Diterbitkan : 09 Oct 2019 06:42PM Dikemas Kini : 09 Oct 2019 06:48PM

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, yang juga penerbit akhbar harian Utusan Malaysia dan Kosmo, menamatkan operasinya hari ini (9 Okt) selepas mengalami masalah kewangan.

Sehubungan itu, hari ini merupakan tarikh akhir bekerja untuk kakitangan manakala hari akhir perkhidmatan ditetapkan pada 31 Oktober 2019.

Pada 7 Oktober lalu, Lembaga Pengarah Utusan Melayu meluluskan cadangan Penggulungan Secara Sukarela Pemiutang.

Syarikat yang beroperasi sejak 80 tahun lalu itu juga sudah melantik firma perakaunan dan perundingan bebas UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pihak penyelesai interim.

"Utusan Melayu telah membuat perakuan bahawa syarikat itu tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.

"Mesyuarat membabitkan syarikat itu dan pemiutang akan diadakan pada 6 November," menurut UHY Advisory (KL).

Pada 30 Ogos lalu, penerbit akhbar harian berbahasa Melayu tertua di Malaysia itu, yang ditubuhkan pada 1939, dinyahsenarai dari Bursa Malaysia dengan harga dagangan akhirnya pada 5.5 sen.

Syarikat itu mula disenaraikan di bursa pada 1994.

Dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada kakitangan, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Abd Aziz Sheikh Fadzir, berkata syarikat itu mengalami masalah perniagaan yang kritikal selepas Mei 2018.

Malah, katanya, syarikat itu sudah mengambil pelbagai usaha untuk meletakkannya pada kedudukan lebih kukuh dan terjamin termasuk melaksanakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) serta menjual asetnya bagi mendapatkan aliran tunai yang mencukupi.

Bagaimanapun, edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sebaliknya terus menurun dan menyaksikan kedua-dua akhbar itu gagal menepati sasaran pengiklanan sebanyak RM4 juta (S$1.3 juta) sebulan.

"Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak. Syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang," kata Encik Abd Aziz.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan