Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Utusan M'sia dakwa Najib bohong isu sumber wang dalam akaun

Akhbar Utusan Malaysia mendakwa mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berbohong tidak tahu mengenai wang yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Utusan M'sia dakwa Najib bohong isu sumber wang dalam akaun

Mantan Perdana Menteri Najib Razak. (Gambar fail: Mohd Rasfan/ AFP)

Diterbitkan : 05 Nov 2018 09:25AM Dikemas Kini : 05 Nov 2018 10:02AM

PETALING JAYA: Akhbar Utusan Malaysia mendakwa mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berbohong tidak tahu mengenai wang yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Akhbar Utusan Malaysia yang dikaitkan dengan UMNO itu membuat dakwaan tersebut menyusuli wawancara mantan presiden parti itu Najib Razak bersama agensi berita Al-Jazeera baru-baru ini apabila beliau mendedahkan beliau sebenarnya tidak tahu sumber sebenar wang tersebut.

Menurut laporan Malaysiakini, Encik Najib sebelum ini mendakwa wang itu merupakan "derma" daripada keluarga Diraja Arab Saudi.

Penulis pojok Awang Selawat semalam (4 Nov), dalam edisi hujung minggu akhbar berkenaan, Mingguan Malaysia, mengatakan bahawa pembohongan Encik Najib terbongkar semasa wawancara itu dan beliau perlu memohon maaf kepada semua anggota UMNO.

Malaysiakini menukil Awang Selawat sebagai berkata: "Pendedahan Najib Razak yang beliau sebenarnya tidak tahu sumber wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya menyebabkan rakyat Malaysia, terutamanya ahli UMNO, berasa tertipu kerana selama ini mereka menerima kenyataan beliau bahawa wang itu sebenarnya adalah sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi.

"Adalah tidak masuk akal yang Najib tidak tahu dari mana sumber sebenar jumlah wang yang besar itu... Akhirnya pembohongan Najib terbongkar dalam wawancara bersama Mary Ann Jolley dalam siaran Al Jazeera baru-baru ini."

"Najib harus memohon maaf kepada semua ahli UMNO kerana pembohongan inilah sebenarnya yang telah menghilangkan keyakinan rakyat kepada kepimpinan BN dan akhirnya menyebabkan parti komponen itu hilang kuasa memerintah," menurut tulisan Awang Selawat, seperti yang ditukil Malaysiakini.

Pada Ahad (4 Nov), Awang Selawat menggunakan pembayang pantun dua kerat, "siakap senohong, gelama ikan duri..." sebagai judul pojoknya.

Di penghujung ruangan itu, Awang Selamat menyimpulkan maksud pembayang pantun yang malar segar itu: "Bukan semua pencuri itu pembohong tetapi mereka yang berbohong itu selalunya mencuri." 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan