Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ustaz Zamihan setuju mohon maaf tuduh pendakwah Kanada sebagai pengganas

Saman fitnah yang difailkan oleh pendakwah dari Kanada, Dr Bilal Philips terhadap pendakwah tempatan Ustaz Zamihan Mat Zin berhubung posting bergambar dalam Facebook yang didakwa menggambarkannya sebagai penyokong keganasan selesai, selepas Ustaz Zamihan bersetuju untuk memohon maaf.

Anggaran Waktu Membaca:
Ustaz Zamihan setuju mohon maaf tuduh pendakwah Kanada sebagai pengganas

Encik Zamihan Mat Zin (kiri) bersetuju untuk memohon maaf kepada Dr Bilal Philips. (Gambar: Ustaz Zamihan Al-Ghari/ Dr. Bilal Philips/ Facebook)

Diterbitkan : 01 Aug 2018 09:51PM Dikemas Kini : 02 Aug 2018 12:13AM

KUALA LUMPUR: Saman fitnah yang difailkan oleh pendakwah dari Kanada, Ustaz Abu Ameenah Bilal Philips terhadap pendakwah tempatan Ustaz Zamihan Mat Zin berhubung posting bergambar dalam Facebook yang didakwa menggambarkannya (Dr Bilal Philips) sebagai penyokong keganasan selesai, selepas Ustaz Zamihan bersetuju untuk memohon maaf.

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Zaidi Ibrahim merakamkan penghakiman persetujuan itu dalam kamar di hadapan peguam Meor Amir Meor Omar Baki yang mewakili Dr Bilal Philips dan Encik Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Ustaz Zamihan.

Meor Amir memberitahu pemberita bahawa defendan (Ustaz Zamihan) bersetuju membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka yang akan disiarkan melalui Facebook dalam tempoh dua hari bermula hari ini (1 Ogos).

“Defendan juga bersetuju untuk menarik balik posting fitnah dengan serta-merta dan mahkamah membenarkan perintah injunksi menghalang defendan daripada bercakap atau menerbitkan atau dipaksa menerbitkan atau memfitnah plaintif secara lisan atau secara bertulis,” katanya.

Peguam itu berkata defendan bersetuju untuk membayar ganti rugi yang tidak dinyatakan kepada plaintif dan kos keselamatan sebelumnya sebanyak RM30,000 (S$10,000) dipulangkan kepada plaintif.

Kos keselamatan boleh dikenakan jika plaintif dalam saman itu bukan warganegara dan jika bimbang bahawa beliau tidak mampu membayar kos jika mahkamah membuat keputusan yang tidak memihak kepadanya.

DAKWA DR BILAL PHILIPS PENGGANAS ANTARABANGSA

Pada 29 September 2017, Dr Bilal Philips memfailkan saman terhadap Ustaz Zamihan, 41 tahun, kerana mendakwa pendakwah tempatan itu pada 26 November 2016, memuat naik gambarnya beserta kapsyen: International terrorism supporter allowed to preach in Perlis (Penyokong pengganas antarabangsa dibenarkan berdakwah di Perlis).

Dr Bilal Philips mendakwa posting itu juga memaparkan poster Kuliah Khas Maghrib yang dijadual disampaikan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, Perlis pada 1 Disember 2016.

Pendakwah dari Kanada itu mendakwa bahawa perkataan itu, antara lain, membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam keganasan dan akan menyampaikan ceramah untuk mempromosikan keganasan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Selain boleh diakses oleh pengguna lain, posting itu juga dikongsi oleh 119 pengguna Facebook yang lain, katanya.

Dr Bilal Philips memohon perintah mahkamah supaya Ustaz Zamihan memohon maaf secara terbuka kepadanya dengan menyiarkan kenyataan mohon maaf dalam akhbar pilihannya dan melalui laman Facebook Ustaz Zamihan Al-Ghari, di samping menarik balik posting tersebut.

ZAMIHAN TEGASKAN DAKWAAN BUKAN FITNAH

Beliau juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Ustaz Zamihan daripada menerbitkan semula posting itu selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk berjumlah lebih RM1 juta (S$330,000), faedah dan kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam kenyataan bela diri yang difailkan pada 19 Oktober 2017, Ustaz Zamihan berkata beliau tidak tahu mengenai posting itu yang tersebar dalam internet.

Ustaz Zamihan juga menegaskan bahawa kenyataan mengenai posting tersebut tidak berbaur fitnah kerana apa yang dinyatakan adalah fakta.

Beliau mendakwa ada alasan yang munasabah untuk mengesyaki atau mempercayai bahawa Dr Bilal Philips terlibat dalam menyokong keganasan kerana maklumat itu terkandung dalam akhbar National Post dan juga oleh polis.

Dr Bilal Philips kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau gembira perkara itu diselesaikan dengan cara yang baik.

HANYA SALAH FAHAM

“Ia menyentuh isu tuduhan palsu dan salah faham. Saya tidak mempunyai kaitan dengan keganasan. Malah, ISIS menjadikan saya sebagai sasaran dan saya berada dalam “hit list” mereka,” kata beliau.

Ustaz Zamihan pula memohon maaf atas salah faham yang timbul akibat posting yang dibuatnya dan menyatakan beliau tidak mempunyai sebarang masalah peribadi atau pertikaian pendapat dengan Dr Bilal Philips.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan