Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Usahawan ini agih 1.2 tan durian percuma secara pandu lalu

Seorang pemilik kedai emas mengambil inisiatif mengagihkan sebanyak 1.2 tan pelbagai jenis durian termasuk durian kampung, Musang King dan Tok Litok secara pandu lalu kepada pengguna jalan raya di Pasir Pekan pada Sabtu (24 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Usahawan ini agih 1.2 tan durian percuma secara pandu lalu

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Jul 2021 09:50PM Dikemas Kini : 24 Jul 2021 09:52PM

KOTA BHARU: Seorang pemilik kedai emas mengambil inisiatif mengagihkan sebanyak 1.2 tan pelbagai jenis durian termasuk durian kampung, Musang King dan Tok Litok secara pandu lalu kepada pengguna jalan raya di Pasir Pekan pada Sabtu (24 Jul).

Ketua Pegawai Eksekutif MZ Gold Murtadhatumizi Mustapha berkata agihan secara percuma itu diberikan kepada sekitar 500 hingga 700 pengguna jalan raya dengan setiap penerima mendapat dua atau tiga biji durian bergantung kepada saiz buah berkenaan.

“Idea untuk mengagihkan durian secara percuma ini kerana harga durian di pasaran agak tinggi…Jadi timbul di hati saya untuk berkongsi sedikit dengan orang ramai terutamanya bagi mereka yang terjejas pendapatan ketika tempoh pandemik COVID-19 ini.

“Mungkin ada antara kita yang teringin untuk menikmati durian, namun tidak mampu...Oleh itu, dengan adanya sumbangan ini sekurang-kurangnya ia dapat memenuhi hasrat mereka yang tidak berkemampuan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasir Pekan hari ini. 

Encik Murtadhatumizi berkata bekalan durian berkenaan yang diperoleh daripada tujuh pembekal di sekitar Dabong, Kuala Krai itu membabitkan pembelian mencecah RM7,000 (S$2,254.67) sekali gus membantu pembekal yang buntu memasarkan hasil mereka dan mengelak berlaku lambakan durian kerana raja buah itu mudah rosak.

“Insya-Allah, inisiatif agihan buah durian secara percuma ini akan diperluaskan ke kawasan lain di sekitar Kota Bharu sekiranya terdapat bekalan,” katanya.

Seorang penerima, Ahmad Farid Awang Rani, 37 tahun, dari Kampung Bharu, Pasir Pekan berkata kali terakhir beliau membeli buah durian sekitar dua minggu lepas yang berharga RM7 (S$2.25) sekilogram.

“Sumbangan durian secara percuma ini sekurang-kurangnya dapat ‘menggembirakan’ hati penerima yang tidak berkemampuan. Malah, sebagai pemandu lori saya hanya mampu membeli buah durian ketika ada wang lebih untuk dinikmati bersama keluarga,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan