Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Usaha pulihara rumah tradisional M'sia, keunikan seni bina

Keadaan cuaca di bahagian timur Terengganu sekarang ini agak tidak menentu - sekejap panas terik dan sekejap hujan.

Anggaran Waktu Membaca:
Usaha pulihara rumah tradisional M'sia, keunikan seni bina

(Gambar: Vicent Tan)

Diterbitkan : 29 Oct 2019 09:02PM Dikemas Kini : 30 Oct 2019 01:27AM

SETIU, TERENGGANU: Keadaan cuaca di bahagian timur Terengganu sekarang ini agak tidak menentu - sekejap panas terik dan sekejap hujan.

Berlatar belakangkan cabaran itu, Encik Alex Lee Yun Ping, 51 tahun mengambil keputusan untuk menempatkan projek kampung warisannya terdiri daripada 29 rumah tradisional Melayu di bahagian Timur Terengganu. Kawasan yang dipilih terletak di Kampung Mangkuk, antara Sungai Setiu dan Laut China Selatan.

Encik Lee, yang merupakan seorang peniaga keturunan Cina Peranakan Terengganu dibesarkan di daerah Marang. Beliau mula membeli rumah-rumah tradisional Terengganu ketika berusia 20 tahun.

Kebanyakannya adalah bangunan istana dan rumah orang kenamaan, yang tidak lagi didiami dan terbiar kosong agak lama kerana warisnya sudah berpindah.

"Sebaik sahaja membeli hartanah itu, kami akan mengumpil struktur binaannya satu persatu, membersihkan, dan menyimpannya di belakang rumah keluarga saya, dan menutupnya dengan atap zink," menurutnya.

Tambahnya lagi, tidak sukar untuk berbuat demikian kerana rumah-rumah tradisional dibina tanpa menggunakan paku, sebaliknya dipasak dan mempunyai ketahanan struktur kayu yang utuh.

"Rumah-rumah istana di sini semuanya dibina mengikut gaya Terengganu. Ia mempunyai enam atau 12 tiang. Kami menamakannya 'rumah bujang' dan 'bujang serambi," jelas beliau. 

Rumah-rumah bangsawan yang dibeli Encik Lee di merata Terengganu, lazimnya memiliki tembok hiasan. Ia memiliki panel-panel yang diukir, bagi membolehkan pengaliran udara dan cahaya.

Lazimnya, rumah tradisional Melayu banyak menggunakan kayu cengal. Kebanyakannya berusia lebih 100 tahun hingga 250 tahun, sekali gus menjadikannya hampir tidak terjejas serangan anai-anai.

Semasa musim tengkujuh, dari November hingga Februari, tembok rumah mungkin terjejas jamur namun ia segera kering dan mati apabila matahari timbul, meninggalkan warna kayu yang unik.

FAKTA MENARIK MENGENAI RUMAH MELAYU

Koleksi Terrapuri iaitu rumah-rumah tradisional jenis Terengganu digunakan dalam seni bina di pusat-pusat peranginan.

"Apabila kami mula memperbaiki semula rumah itu, belum lagi banyak maklumat mengenai rumah-rumah tradisional.

"Oleh itu saya akan pergi dan bertanya penduduk kampung berdekatan mengenai sejarahnya, berbual dengan tukang kayu dan pengukir. Sebenarnya terdapat sejarah yang kaya dan falsafah di sebalik struktur-struktur itu," menurut Encik Lee.

Bahkan, seni bina masyarakat Melayu dahulu mempunyai kepercayaan dalam unsur-unsur ghaib yang dipengaruhi sebelum datangnya agama Islam. Tiang tengah (dikenali sebagai tiang seri) berkedudukan di tengah rumah ibu dan ia sangat istimewa berbanding tiang-tiang yang lain.

Kewujudan tiang seri bertujuan untuk menjaga keselamatan dengan bertindak sebagai perisai daripada gangguan jahat. Sebelum sesuatu tiang seri dipacak, upacara ‘menjamu’ akan dilakukan oleh pawang dan dukun.

Di beberapa rumah yang dikunjungi MediaCorp di Terengganu dan negeri lain, tiga kain berwarna - hitam, merah d n putih - boleh dilihat diikat antara tiang tengah dan bumbung untuk melambangkan pakaian roh.

Selain itu, terdapat juga sesuatu logam, seperti syiling 50 sen, yang ditanam di tapak tiang tengah itu bagi melindungi struktur tersebut.

STRUKTUR RUMAH TRADISIONAL MELAYU

Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu dulu, apabila seorang bayi lahir, sebatang pokok keras seperti Cengal dan Balau akan ditanam di perkarangan rumah.

Menurut pakar seni bina dan akademik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mastor Surat, sebab pokok itu ditanam adalah supaya terdapat bahan binaan yang sedia ada untuk memperluaskan rumah itu apabila kanak-kanak tersebut dewasa kelak.

Dr Mastor Surat.

Rumah Melayu tradisional berbentuk modular dengan ruang utama rumah dan dapur, dan anjung yang menyambung kedua-duanya.

"Apabila kanak-kanak itu sudah meningkat dewasa, keluarga itu akan menambah ruang untuk menghubungkan ruang utama rumah.

"Jika ada lebih ramai anak, mereka akan menanam lebih banyak pokok," jelas Dr Mastor.

PERANAN PENGKAJI PULIHARA RUMAH TRADISIONAL

Terdapat empat rumah tradisional Melayu di Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia, yang pertama sebuah rumah bangsawan dari Seri Menanti, Negri Sembilan, pada tahun 2012.

Sebuah lagi adalah rumah kutai dari Perak, sebuah rumah kapten kapal dari Terengganu dan rumah bangsawan Pahang.

"Setiap rumah mempunyai gaya pembinaan sendiri dan mengandungi unsur-unsur kebudayaan dari pelbagai kumpulan di Nusantara Melayu, seperti Aceh, Minangkabau, Riau, Jawa, Pattani dan banyak lagi," kata pengarah muzium Dr Rahimah Hamdan.

Di Universiti Tenaga Nasional, pensyarah kanan Dr Nazrita Ibrahim menggunakan pemetaan 3D untuk mendokumenkan seni bina warisan, setelah menerbitkan kertas kerja bersama-sama dengan pengarang bersama dalam projek mereka sejak tahun 2009.

"Satu cabaran ialah tiada rakaman cetakan yang tersedia. Kesemua rumah tradisional ini dibina oleh pakar tukang berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Setiap bahagian rumah perlu diukur secara manual, "katanya.

"Saya juga ingin mempunyai pangkalan data, bukan hanya untuk reka bentuk rumah tradisional, tetapi juga mengenai teknik pertukangan seperti pasak dan ukiran hiasan," tambahnya.   

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan