Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Unit bom dipanggil bantu siasat insiden letupan kereta di Kelantan

Polis Kelantan meminta bantuan daripada Unit Bom Bukit Aman bagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan insiden letupan sebuah kereta dalam kejadian di Persimpangan Kampung Sireh petang semalam (21 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Unit bom dipanggil bantu siasat insiden letupan kereta di Kelantan

Gambar: Arena Motor/Facebook

Diterbitkan : 22 May 2021 04:46PM Dikemas Kini : 22 May 2021 04:57PM

KOTA BHARU: Polis Kelantan meminta bantuan daripada Unit Bom Bukit Aman bagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan insiden letupan sebuah kereta dalam kejadian di Persimpangan Kampung Sireh petang semalam (21 Mei).

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata polis juga akan menyiasat bagaimana lelaki yang maut dalam kejadian itu memperoleh bekalan mercun yang begitu banyak.

"Kita akan melakukan siasatan sama ada mangsa ejen jualan mercun ataupun sebagai penjual. Berdasarkan rekod setakat semalam, mangsa juga sebelum ini memiliki dua rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan kes dadah dan pecah rumah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para wartawan selepas meninjau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Terusan.

Semalam, seorang lelaki maut dengan kereta yang dipandunya terbelah dua, disyaki akibat daripada letupan mercun yang dibawa di dalam keretanya, dalam kejadian kira-kira 5.30 petang. Insiden berkenaan melibatkan empat mangsa cedera serta lima lagi kenderaan turut terbakar dan rosak.

Mengulas mengenai punca kejadian, Encik Shafien berkata berdasarkan maklumat awal ada yang mengatakan kemungkinan mangsa menghisap rokok malah mungkin kenderaan dinaiki mangsa dipanah petir kerana cuaca hujan ketika insiden letupan itu berlaku.

"Polis memohon kepada mana-mana saksi supaya tampil menyalurkan maklumat," katanya sambil menambah ia merupakan kejadian yang pertama kali berlaku di Kelantan setakat ini.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan