Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Undang-undang Syariah Selangor terhadap seks luar tabii dianggap tidak ikut perlembagaan

Mahkamah Persekutuan Malaysia hari ini (25 Feb) memutuskan bahawa peruntukkan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Undang-undang Syariah Selangor terhadap seks luar tabii dianggap tidak ikut perlembagaan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 Feb 2021 02:17PM Dikemas Kini : 25 Feb 2021 02:23PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan Malaysia hari ini (25 Feb) memutuskan bahawa peruntukkan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendapati Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan dengan perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah kuasa Parlimen.

Beliau berkata Seksyen 28 digubal bertentangan dengan item 1 Senarai Negeri yang menetapkan bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Dalam keputusan sebulat suara itu, mahkamah membenarkan pengisytiharan yang dimohon seorang lelaki berusia 35 tahun bahawa Seksyen 28 itu tidak sah atas alasan bahawa peruntukan berkenaan berkaitan perkara itu bahawa badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

Seksyen 28 Enakmen itu memperuntukkan bahawa menjadi kesalahan Syariah bagi mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau haiwan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 (S$1,630) atau penjara maksimum tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana gabungan hukuman itu.

Hakim-hakim lain yang bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Mohd Zawawi Salleh, P. Nallini, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Zabariah Mohd Yusof, Hasnah Mohammed Hashim.

Lelaki itu memperolehi kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk memulakan prosiding menerusi petisyennya terhadap kerajaan Selangor dan deklarasi bahawa Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah itu tidak sah.

Lelaki itu yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguam, didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 2018 atas pertuduhan cuba melakukan seks di luar tabii dengan lelaki lain di sebuah rumah di Selangor.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menanti keputusan hasil usulnya.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan