Images
  • dr mahathir
    Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad semasa bercakap kepada para wartawan pada 10 Disember 2018. 

Undang-undang M'sia mesti takrif perbuatan dianggap menghina institusi diraja: Mahathir

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mesti mentakrifkan perkataan atau perbuatan yang dianggap sebagai menghina institusi diraja, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini (10 Jan).

Komen Dr Mahathir dibuat sedang Putrajaya mengumumkan bahawa ia akan menggubal undang-undang baru bagi melindungi kesucian institusi diraja daripada dihina atau diserang.

"Pada masa ini, pihak penguatkuasa tidak faham apa yang dianggap sebagai menghina, jadi kita perlu nyatakan apa perbuatan atau perkataan yang dianggap sebagai menghina," kata Dr Mahathir sebagai dipetik oleh akhbar The Star di satu sidang media hari ini (10 Jan).

Beliau berkata Malaysia kini mengamalkan kebebasan bersuara dan mereka yang membuat kenyataan berdasarkan fakta tidak boleh didakwa.

“(Sebaliknya) kalau kita tutup mulut semua orang sehingga jenayah berlaku pun tidak boleh sebut, jadi tak ada keadilan di situ,” katanya lagi.

Awal hari ini (10 Jan), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Liew Vui Keong berkata kerajaan akan menggubal satu undang-undang baru serta meminda undang-undang sedia ada bagi melindungi kesucian institusi diraja.

Encik Liew berkata kerajaan mungkin akan meneliti aspek hukuman undang-undang. "Buat masa ini, hukuman bagi kesalahan-kesalahan tertentu terhadap insitusi diraja dianggap ringan," katanya.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Akta Hasutan yang diluluskan pada 1948 membawa hukuman yang tidak sepadan dengan keadaan masyarakat pada masa kini.

“Sistem kita adalah sistem raja berperlembagaan. Oleh itu, kerajaan perlu sentiasa memastikan agar raja-raja kita dilindungi daripada fitnah yang tidak berasas dan serangan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada para wartawan selepas menyampaikan amanat tahun baru 2019 di jabatan perdana menteri.

Menteri itu juga menegaskan bahawa matlamatnya adalah untuk memastikan agar sistem diraja berperlembagaan Malaysia "akan sentiasa dilindungi daripada segala bentuk serangan".

Dalam menggubal undang-undang baru, kerajaan akan meneliti sistem diraja berperlembagaan di beberapa negara Komanwel, kata Encik Liew.

ORANG RAMAI DIGESA GUNA MEDIA SOSIAL DENGAN BERHEMAH

Sejak kebelakangan ini, terdapat lebih banyak gesaan agar hukuman dikenakan terhadap mereka yang menghina institusi diraja.

Pada Rabu (9 Jan), polis menyatakan dua lelaki dan seorang wanita diberkas kerana dipercayai menghina mantan sultan Malaysia Sultan Muhammad V di media sosial, berhubung peletakan jawatannya.

Sultan Muhammad V meletak jawatan pada Ahad (6 Jan), sekaligus mengesahkan khabar angin yang tular di media sosial pada awal minggu lalu.

Ketua Polis Mohamad Fuzi Harun berkata ketiga-tiga individu terbabit akan disiasat di bawah Akta Hasutan.

Buat masa ini, Akta Hasutan mengenakan hukuman denda maksimum RM5,000 (S$1,220) terhadap para pesalah kali pertama atau hukuman penjara maksimum selama tiga tahun ataupun kedua-duanya sekali. Pesalah berulang pula boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum selama lima tahun. 

- CNA/BERNAMA/AI/ai

Top