Images
  • mahathir asean summit
    (Gambar: Bernama)

Undang-undang baru ganti Akta Hasutan - PM Mahathir

KUALA LUMPUR: Putrajaya akan memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta baru, menurut Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad pada Khamis (11 Jul).

Dr Mahathir berkata kerajaan negara itu sedang dalam proses menggubal rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Hasutan 1948.

“Kita menarik balik undang-undang dulu (Akta Hasutan) dan untuk undang-undang baru kita sudah ada dalam status menyusun semula ayat-ayat dalam undang-undang dan dijangka selesai secepat mungkin," tambah beliau pada sidang media di lobi Parlimen.

Langkah memansuhkan Akta Hasutan merupakan antara janji utama Pakatan Harapan (PH) semasa pilihan raya umum Mei tahun lalu.

Semasa pentadbiran Najib Razak, puluhan ahli politik dan aktivis ditahan dan didakwa di bawah Akta Hasutan yang mengkritik mantan perdana menteri itu.

Ini diburukkan lagi ketika berita mengenai skandal 1MDB pada 2015.

Selepas mengambil alih kuasa, Pakatan Harapan dituduh tidak bersungguh-sungguh untuk menghapuskan undang-undang yang lapuk itu.

Akta tersebut digunakan untuk menjatuhkan hukuman penjara kepada pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin dari Parti Keadilan Rakyat, parti komponen terbesar PH kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Awal minggu ini, Mahkamah Tinggi di Shah Alam menolak rayuan Wan Ji dan hukumannya dipinda dari sembilan bulan kepada setahun. 

- BERNAMA/SU/tq

Top