Images
  • kuan
    Encik Kuan Chee Heng bergurau senda dengan salah seorang penerima bantuan. (Gambar: Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia) 

'Uncle Kentang' bantu golongan miskin M'sia dengan bayaran serendah RM0.10

KUALA LUMPUR: Barangan keperluan harian 10 sen (S$0.03), perkhidmatan teksi 10 sen (S$0.03) dan rumah transit yang mengenakan bayaran RM1 (S$0.30) sehari.

Semua ini merupakan sebahagian daripada usaha murni Encik Kuan Chee Heng, 57, pengasas Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu golongan kurang bernasib baik.

Bagi acara yang beliau gelar "Pasar 10 sen", Encik Kuan menerima barangan terpakai yang disumbangkan oleh orang ramai termasuk pakaian, perkakas, malah pernah juga sebuah kereta. Barangan tersebut kemudian “dijual” kepada penduduk kurang berkemampuan pada harga RM0.10 sen setiap satu.

“Pada mulanya, kami hanya memberi makanan, kemudian kami dapati penduduk dalam masyarakat ini memerlukan lain-lain barang juga,” kata Encik Kuan kepada CNA.

“Kami kenakan bayaran kecil sebanyak 10 sen bagi mengelakkan daripada memberi barangan ini secara percuma, takut ia tidak dihargai,” ujar beliau.

Jelas beliau lagi, matlamat utama inisiatif itu adalah untuk membantu membanteras jenayah dengan menyumbang bekalan keperluan harian dan barangan lain kepada masyarakat kurang berkemampuan, dan menggalak mereka bertegur sapa.

Biasanya ketua kumpulan masyarakat seperti pengerusi surau, rukun tetangga dan pengerusi persatuan penduduk akan menghubungi badan itu dan menjemputnya mengadakan acara Pasar 10 Sen di kawasan mereka.

Setakat ini, inisiatif itu sudah membantu 10,000 keluarga di Lembah Klang dan tempat-tempat lain di Malaysia, menurut Encik Kuan.


Bermula dengan pasar, usahanya berkembang ke inisiatif lain seperti perkhidmatan teksi 10 sen untuk golongan miskin bandar, terutama sekali yang perlu ke hospital untuk temu janji susulan.

Apabila menyedari pesakit sedemikian tidak dapat menjaga anak apabila ke hospital, Encik Kuan memulakan pula perpustakaan 10 sen sebagai sebuah pusat jagaan harian kanak-kanak. Pusat jagaan itu turut membantu mencegah kanak-kanak menjadi mangsa masalah seperti pencabulan jika tiada pengawasan.

Encik Kuan turut menyediakan perkhidmatan van jenazah RM1 (S$0.30) dan ambulans RM1 (S$0.30).

Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia diasaskan pada 2007 sebagai sebuah NGO pencegah jenayah. Ia kemudian menambah kegiatannya dengan menawarkan inisiatif-inisiatif yang disebut di atas apabila Encik Kuan menyedari peri pentingnya menyemai kasih sayang dan belas kasihan sebagai langkah berkesan dalam membanteras jenayah.

“Jadi kami ubah strategi dengan mempamerkan kasih sayang dan membantu masyarakat. Dengan menggalak orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan bekerjasama dengan pihak berkuasa, kami secara tidak langsung memberi mereka peluang membuktikan bakat kepimpinan dan contoh teladan yang baik,” ujar beliau.

Menerusi kerja amal beliau, Encik Kuan mendapat gelaran “Uncle Kentang”.

“Orang ramai menggelar saya ‘Uncle Kentang’ kerana saya pernah menghantar kentang kepada penduduk. Saya pernah bertanya dengan doktor bagaimana saya boleh menggalakkan kanak-kanak supaya makan kerana banyak keluarga miskin yang saya kunjungi hanya ada beras.”

“Kentang boleh dilenyek, boleh dibuat sup ... saya tidak memberitahu mereka nama saya, jadi mereka hanya cakap 'kentang sudah mari, kentang sudah mari' apabila mereka nampak saya datang,” ujar beliau sambil tertawa.

MEMBESAR DALAM KEMISKINAN

Semangatnya untuk membantu masyarakat berakar umbi daripada pengalaman hidupnya sendiri.

Beliau datang dari keluarga miskin dan ini mendorongnya untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja amal. Beliau menitiskan air mata semasa berkongsi mengenai keperitan hidup keluarganya.

“Saya berasal dari sebuah keluarga penoreh getah yang miskin. Bapa saya gagal dalam perniagaan,” kata Encik Kuan menceritakan kisahnya.

Encik Kuan membesar di sebuah estet di Batu Pahat, Johor yang tiada bekalan elektrik mahu pun air paip.

“Kami dibuli ... tiada makanan, serba kekurangan. Ibu saya seringkali dibuli kerana terpaksa berhutang untuk membeli barang keperluan. Ibu kerap pulang ke rumah dalam tangisan,” tambah Encik Kuan.


Malah setelah mendiang bapanya didapati menghidap barah, mereka tidak mampu menghantarnya ke hospital mahu pun membayar kos rawatan.

“Kami hanya ada sebuah basikal buruk dan apabila bapa meninggal dunia, kami terpaksa meminjam wang untuk urusan pengebumian,” kata Encik Kuan.

Beliau kemudian bekerja sebagai kerani namun setelah menyedari tidak gemar bekerja di pejabat, beliau berhenti dan menjadi pekerja rencam.

“Selepas itu saya berkhidmat selama enam tahun dengan pasukan Polis Diraja Malaysia sebelum membuka sebuah kedai bunga,” kata beliau.

“Bagi saya, keperitan hidup memberi pengajaran berguna dalam membentuk keperibadian kita. Ia mendorong kita berbakti kepada masyarakat kerana kita tidak mahu orang lain mengharungi kesukaran yang sama seperti yang kita lalui,” kata Encik Kuan.

RUMAH TRANSIT RM1 DAN INISIATIF LAIN

Bagi yang datang dari pedalaman Malaysia tidak kira sama ada dari Semenanjung mahu pun Sabah dan Sarawak, yang berkunjung ke Lembah Klang untuk mendapatkan rawatan perubatan, penginapan boleh menjadi satu masalah.

Encik Kuan memulakan asrama atau rumah transit RM1 (S$0.30) pada 2016 setelah Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia menerima maklum balas mengenai kesukaran yang dihadapi para pesakit.

“Kos rawatan mereka mungkin telah ditanggung oleh jabatan kebajikan, namun mereka masih memerlukan tempat tinggal.

“Ada satu kes yang dirujuk kepada kami melibatkan seorang warga emas. Bayaran kemoterapinya sudah dibayar, namun beliau perlu tinggal lebih lama untuk rawatan lanjut.

“Semasa kami menjemputnya, beliau hanya ada beberapa ringgit di dalam kocek. Di sinilah timbulnya idea seperti rumah transit RM1 (S$0.30) bagi membantu golongan miskin ini,” kata Encik Kuan.

Terdapat lima buah rumah transit RM1 (S$0.30) di Lembah Klang, dengan tiga di Puchong, satu berhampiran bangunan Institut Kesihatan Negara di Shah Alam dan satu lagi di Kuala Lumpur.

Di laman Facebooknya, Encik Kuan kerap berkongsi kisah mereka yang menghubunginya meminta bantuan. Pertubuhan beliau turut bertindak sebagai orang tengah antara majikan dan mereka yang mencari kerja.

Di tengah-tengah gelombang ketiga COVID-19 di Malaysia dan kesannya terhadap ekonomi, lebih ramai orang memohon bantuan yang disediakan pertubuhan Encik Kuan, tidak kira rakyat tempatan mahupun penduduk asing.

DERMA ORANG RAMAI TAMPUNG KERJA AMAL


Encik Kuan dibantu oleh tenaga sukarelawan dan kira-kira 30 orang pekerja yang termasuk pemandu ambulans dan teksi. Bagaimanakah beliau membiayai semua inisiatif ini?

“Sebenarnya ada ramai orang berada yang berminat membuat kebajikan. Mereka ingin menumbang kepada badan amal jadi kami menerima banyak derma daripada orang ramai,” kata Encik Kuan.

Selain itu, Encik Kuan bekerjasama dengan penaja korporat seperti syarikat minyak Petron. Encik Kuan juga menjadi perunding kawalan keselamatan bagi kediaman mewah dan ini turut menjadi sumber dana bagi kegiatana anjurannya.

Selanjutnya, Encik Kuan merancang memulakan perkhidmatan intervensi termasuk menubuhkan pusat panggilan bagi mereka yang memerlukan bantuan atau menghadapi masalah.

Beliau juga ingin membangunkan aplikasi online yang membolehkan golongan miskin berkongsi keperluan dan lokasi mereka dengan segera. 

- CNA/NA/na

Top