Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO tuntut polis pulangkan wang rampasan

UMNO kesal dengan tindakan polis merampas wang yang didakwa dana politik mereka untuk pilihan raya dan pengurusan parti, lapor Malaysiakini.

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO tuntut polis pulangkan wang rampasan

(Gambar: Malaysian Digest/ Facebook)

Diterbitkan : 24 May 2018 11:22PM Dikemas Kini : 24 May 2018 11:26PM

KUALA LUMPUR: UMNO kesal dengan tindakan polis merampas wang yang didakwa dana politik mereka untuk pilihan raya dan pengurusan parti, lapor Malaysiakini.

Menurut Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO, wang sumbangan itu dirampas semasa proses dipindahkan kepada kepimpinan baru parti itu.

“Secara umumnya, presiden UMNO bertanggungjawab untuk mendapatkan sumber dan menguruskan dana untuk UMNO termasuk dana bagi pilihan raya umum. Hal ini termaktub di dalam perlembagaan parti.

“Dana sumbangan kepada parti politik ini diterima oleh semua parti-parti politik di negara ini dan hal ini tidak ada bezanya dengan Umno yang mantan presiden kita iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendapatkan sumbangan dana untuk kempen sebelum PRU ke-14 dan juga dana untuk menguruskan parti.

“Untuk makluman, semasa mantan presiden Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai presiden kita, beliau juga telah menyerahkan RM 1.2 bilion (S$0.4 bilion) kepada parti dan tiga juta ahli,” menurut kenyataan unit itu.

Jumaat lalu (18 Mei), polis merampas wang tunai dan barangan bernilai di enam lokasi yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB.

Laporan media tempatan menyebut nilainya kira-kira RM120 juta (S$40 juta).

Dalam laporan polis, Datuk Seri Najib dilaporkan mendakwa wang tunai yang dirampas dari Pavilion Residences, Kuala Lumpur itu adalah derma rakan-rakan untuk kempen pilihan raya BN.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan bahawa Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO juga menyatakan bahawa pembiayaan politik dibenarkan bawah undang-undang negara.

“Oleh itu, UMNO berusaha untuk memulihkan dana ini dan memohon kepada pihak polis untuk melepaskan dana tersebut dan mengembalikannya kepada parti setelah selesai proses siasatan oleh pihak berkuasa yang terbabit.

“UMNO kini sedang dalam proses membina semula parti dan pulangan dana parti ini akan membantu parti untuk mengukuhkan proses pembinaan semula parti yang sedang dijalankan hari ini,” menurut unit itu.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan