Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO tidak boleh bergerak solo: Annuar Musa

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa menegaskan UMNO tidak boleh 'bersendirian' dalam arena politik sekiranya ingin memperoleh kejayaan terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO tidak boleh bergerak solo: Annuar Musa

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Jan 2021 06:46PM Dikemas Kini : 02 Jan 2021 06:48PM

KOTA BHARU: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa menegaskan UMNO tidak boleh 'bersendirian' dalam arena politik sekiranya ingin memperoleh kejayaan terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Encik Annuar berkata bergerak secara solo bukanlah satu formula kemenangan kepada UMNO dan beliau juga tidak mempersetujui keputusan itu sekiranya wujud beberapa pihak dalam parti yang menyuarakan pendapat untuk menolak segala perikatan yang terjalin dengan parti lain.

"Kita (UMNO) jangan khayal hendak bergerak solo, kalau ada yang mahukan, maka saya tidak setuju. Ia bukanlah formula kemenangan. Saya pun sayang parti tetapi kalau pendapat saya salah, maka salahlah.

"Bagaimanapun, saya sendiri ada buat kajian sebelum ini dan melihat realitinya UMNO tidak boleh bersendirian kalau nak berjaya. UMNO perlu bekerjasama dengan konsep ‘taawun’ (tolong menolong) dan ‘tahaluf’ (muafakat) kalau kita nak berjaya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh pada Sabtu (2 Jan).

Encik Annuar berkata demikian ketika mengesyorkan lima perkara untuk bergerak ke hadapan yang perlu dititikberatkan setiap ahli termasuk pimpinan UMNO bagi membangkitkan semula kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap parti berkenaan.

TOLAK ORANG SANA SINI “MACAM KITA KUAT SANGAT”: ANNUAR

Mengulas lanjut, beliau berkata UMNO juga seharusnya menjadi parti yang mengetuai serta memimpin ke arah penyatuan ummah dan bukannya menjadi punca berlakunya perpecahan antara satu sama lain, sama ada dalam mahupun luar parti.

"UMNO jangan jadi juara dalam perpecahan. Saya sangat tidak setuju kalau kita pula yang jadi punca perpecahan. Nak tolak orang itu, nak tolak orang ini. Macam kita kuat sangat. Itu satu sifat sombong yang saya tidak fikir ia boleh beri kebaikan kepada parti," ujarnya.

Selain mendengar suara akar umbi parti, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata UMNO perlu keluar daripada 'kepompong' lama yang menjadi sebab utama rakyat menolak UMNO daripada pelbagai aspek termasuk individu, program dan dasar parti politik tersebut.

“War lord itu bukanlah akar umbi, peringkat saya iaitu ketua bahagian ini bukannya akar umbi sebab mungkin kadang-kadang kita bercakap atas nama peribadi kita. Kita tidak bincang lagi dengan ahli-ahli di bawah dan kalau kita bawa kepada ahli di bawah sekalipun, kita kena faham kita masih minoriti.

"Majoritinya rakyat adalah pengundi yang bukan daripada ahli kita. Maka, yang penting bagi saya ialah kena dengar suara rakyat juga selain mendengar suara akar umbi," jelasnya.

Di samping itu, Ahli Parlimen Ketereh itu juga menggesa supaya UMNO kembali kepada asas yang dekat dengan naluri dan hati umat Islam dan orang Melayu.

BUKAN ‘PRO’ PARTI BERSATU

Encik Annuar juga menolak dakwaan pihak tertentu yang kononnya beliau bertindak membuat keputusan mendahului kepimpinan parti dan bersikap 'pro' kepada Bersatu.

Beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernah melakukan sebarang keputusan tanpa pengetahuan atau mendahului BN dan UMNO.

“Saya tidak melakukan apa-apa perkara tanpa pengetahuan atau atas arahan presiden, malah tugas saya mewujudkan hubungan kerja yang baik dengan rakan sejawat dalam Muafakat Nasional (MN) (iaitu PAS) dan juga rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

"Saya dengar banyak tuduhan ini berlegar dan saya ambil peluang pada persidangan ini kerana saya berdiam cukup lama dan perkara itu telah merebak sampai ke bawah," katanya.

Mengenai kerjasama BN dengan PN, Encik Annuar berkata beliau dan setiausaha agung parti-parti lain dalam PN sentiasa bekerjasama dengan memastikan suasana kerja yang kondusif termasuk melaksanakan tugas yang diamanahkan parti.

Sebelum ini, beberapa pimpinan UMNO dilaporkan mempersoalkan beberapa tindakan dan kenyataan Encik Annuar yang seolah-olah menjadi jurucakap Bersatu.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan