UMNO tiada masalah terima permohonan maaf Dr Mahathir
“Alhamdulillah, Tun minta maaf.….jika Tun mengaku ada buat salah kita boleh terima".
ARAU, PERLIS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata UMNO tiada masalah untuk menerima permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang beliau berkecimpung dalam politik.
“Alhamdulillah, Tun minta maaf.….jika Tun mengaku ada buat salah kita boleh terima tetapi bila dah tuduh dengan teruk kerajaan yang memerintah, tidak baiklah.. sebab kita semua bukan sempurna.
“Begitu juga bila nak tegur kita kena ingat kita pernah buat salah atau tidak…..saya harap kembalilah ke pangkal jalan dan bersama kerajaan supaya kita menjadi lebih kuat dan dapat menunaikan lebih banyak hasrat dan kebaikan untuk rakyat,” katanya.
Semasa berucap merasmikan mesyuarat agung pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam semalam, Dr Mahathir membuat permohonan maaf itu bagi segala kesalahan yang pernah dilakukannya.
Dalam perkembangan lain Encik Shahidan berkata pembangkang yang mulai mendekati rakyat untuk memberi sumbangan dan bantuan sejak akhir-akhir ini sama sekali tidak menggugat Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.
“Biarlah…..itu hak mereka untuk masuk beri bola sepak raga sebiji, beras sekampit dan sedikit bantuan. Kalau depa (mereka) tak masuk macam mana kita nak lawan dan lihat siapa lebih kuat dalam membantu dan menjaga kebajikan rakyat,” tambahnya.
Mengenai Perlis, beliau berkata UMNO sudah membuat persiapan jangka panjang dan bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang semakin hampir.
LAPORAN BERKAITAN:
Tun Mahathir mohon maaf atas kesalahan 'masa lalu'
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.