Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO tarik balik sokongan terhadap kerajaan PN; gesa Muhyiddin Yassin segera undur diri

UMNO awal pagi ini (7 Jul) memutuskan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO tarik balik sokongan terhadap kerajaan PN; gesa Muhyiddin Yassin segera undur diri

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Jul 2021 07:48AM Dikemas Kini : 08 Jul 2021 07:50AM

KUALA LUMPUR: UMNO awal pagi ini (7 Jul) memutuskan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi yang berlangsung secara maya selama lebih empat jam, bermula 8.30 malam.

Beliau berkata keputusan berkenaan dicapai ekoran kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memenuhi tujuh pra-syarat yang ditetapkan UMNO sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.

“Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan.

“Justeru, UMNO mendesak agar Tan Sri Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baru dilantik untuk suatu tempoh yang terhad,” kata Dr Ahmad Zahid di sidang media yang diadakan secara maya dari Pusat Dagangan Kuala Lumpur.

Dr Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata sepanjang tempoh berkenaan, perdana menteri baru itu hanya akan menumpukan kepada usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik COVID-19 dengan pendekatan inklusif, selain memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

“Setelah berjaya mencapai tahap imuniti kelompok, perdana menteri baru mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15.

“Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Belia menambah mesyuarat MKT turut mengulangi pendirian sepertimana diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk tidak menyokong sebarang usaha mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri atau pun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan.

Menurut Dr Ahmad Zahid lagi, mesyuarat juga turut mengabsahkan keputusan penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan