Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO Seremban nafi desak Ahmad Zahid letak jawatan

UMNO Seremban pada Isnin (25 Jan) menafikan bahagian tersebut mendesak presiden parti Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO Seremban nafi desak Ahmad Zahid letak jawatan

Bendera UMNO. (Gambar fail: Tengku Bahar/ AFP)

Diterbitkan : 26 Jan 2021 09:36AM Dikemas Kini : 26 Jan 2021 09:37AM

SEREMBAN: UMNO Seremban pada Isnin (25 Jan) menafikan bahagian tersebut mendesak presiden parti Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Ketuanya, Encik Mustafa Salim berkata tindakan pemasangan kain rentang yang digantung di sebuah kawasan di Sikamat, kononnya, daripada bahagian itu yang mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan merupakan provokasi pihak tertentu.

“Perbuatan itu tidak beretika dan merupakan provokasi pihak tertentu yang ingin melaga-lagakan kepimpinan UMNO di peringkat Bahagian dan Pusat demi kepentingan politik masing-masing.

“UMNO Bahagian Seremban berpendirian tegas menjunjung dan mendukung Perlembagaan UMNO dan institusi Presiden dan mempertahankannya,” kata beliau dalam kenyataannya semalam.

Beliau berkata dua aduan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Balai Polis Sikamat berhubung perkara tersebut tengah hari semalam.

Dalam kenyataan berasingan, UMNO Perak menyifatkan desakan terbuka daripada beberapa pihak agar Encik Ahmad Zahid meletak jawatan sudah melanggar peradaban, tidak beretika dan tidak bermaruah.

Ketua Penerangan UMNO Perak Encik Mohd Zolkafly Harun berkata UMNO merupakan sebuah parti perjuangan yang bertunjangkan dan berasaskan agama Islam dan bangsa Melayu yang sentiasa menjaga budi pekerti dan adab susila, justeru, ahlinya wajar menghormati institusi presiden yang dipilih melalui Perhimpunan Agung.

“Tindakan mendesak ini didorong oleh kepentingan diri, dendam dan tidak bertanggungjawab menyebabkan pihak lawan mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan dan membangkitkan kegelisahan dalam kalangan ahli parti di akar umbi.

“Sewajarnya pada masa ini kita mesti bersatu hati, bantu-membantu serta memperkukuh dan memperkasa institusi presiden untuk menunjukkan kematangan serta perpaduan jitu kepada rakyat untuk diberi ruang dan peluang agar kembali memimpin dan menerajui kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memasang kain rentang di beberapa tempat UMNO Bahagian di Perak untuk mendesak presiden UMNO supaya meletak jawatan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan