Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO rosak jika Najib jadi MB Pahang, kata Syed Saddiq

"Mantan Perdana Menteri Najib Razak akan merosakkan UMNO jika beliau berhasrat mahu menjadi Menteri Besar Pahang semula," kata Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO rosak jika Najib jadi MB Pahang, kata Syed Saddiq

Gambar: Syed Saddiq/Instagram

Diterbitkan : 11 Jun 2018 09:35AM Dikemas Kini : 11 Jun 2018 09:41AM

KUALA LUMPUR: "Mantan Perdana Menteri Najib Razak akan merosakkan UMNO jika beliau berhasrat mahu menjadi Menteri Besar Pahang semula," kata Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam temu bual dengan New Straits Times Press, Encik Syed Saddiq menegaskan tidak masuk akal jika Encik Najib yang terpalit dengan beberapa siasatan jenayah berhasrat berbuat demikian.

"Ini satu langkah ‘mengerikan’ jika ada cadangan Najib yang kini sedang dalam siasatan dipilih menjadi Menteri Besar Pahang.

"Jika saya mahu menjadi kerajaan yang tidak bertanggungjawab yang mahu membunuh pembangkang, saya akan mengatakan 'Alhamdulillah, saya menyokong langkah itu 100 peratus' kerana kemunculan Najib akan membunuh UMNO, " kata beliau.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas pendapat seorang individu yang mencadangkan jawatan tersebut dalam satu catatan di sebuah blog baru-baru ini yang mana, beliau menyuarakan hasrat untuk melihat Encik Najib sebagai Menteri Besar Pahang, lapor Sinar Harian.

Penulis berkenaan juga meminta Cik Rosmah Mansor supaya 'berehat' daripada terus mengekori perjalanan politik suaminya agar tidak lagi menjadi buah mulut dan tomahan masyarakat.

Walaupun berbeza pandangan politik, Encik Syed Saddiq berkata, beliau lebih suka melihat UMNO menjadi pembangkang yang kuat sekurang-kurangnya dapat mengimbangi kerajaan yang ada sekarang ini.

"Dengan cara ini kita dapat memastikan masa depan rakyat Malaysia terpelihara kerana kita mempunyai demokrasi dalam pelbagai parti.

"Jika kita mahu melihat UMNO kembali kuat dan bertindak sebagai pembangkang yang teguh, maka Najib tidak boleh menjadi ketua pasukan," kata beliau kepada New Straits Times Press.

Encik Najib pernah menjadi Menteri Besar Pahang ke-12 dari Mei 1982 sehingga Ogos 1986. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan