Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO putuskan calon pilihan raya kecil Slim Ahad ini

UMNO akan memutuskan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Ahad (2 Ogos) ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO putuskan calon pilihan raya kecil Slim Ahad ini

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 31 Jul 2020 02:58PM Dikemas Kini : 31 Jul 2020 03:01PM

KUALA LUMPUR: UMNO akan memutuskan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Ahad (2 Ogos) ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa berkata BN Perak sudahpun mengemukakan senarai pendek calon PRK itu kepada Ibu Pejabat UMNO tiga hari lalu.

"Presiden UMNO (Dr Ahmad Zahid Hamidi) akan mengumumkan nama calon tiga hari sebelum hari penamaan calon 15 Ogos ini," kata Encik Annuar kepada wartawan selepas menyertai solat sunat Aidiladha dan ibadah korban di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, di Kampung Sungai Penchala, Damansara, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak mengesahkan akan memberi laluan dan menghulurkan sokongan penuh kepada UMNO untuk bertanding dalam PRK itu.

Encik Annuar berkata menyusuli PRK Slim, BN bersama Muafakat Nasional (UMNO-PAS) dan Bersatu Perak bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama yang dinamakan Muafakat Nasional 'Plus'.

"Alhamdulillah semuanya baik dan Perikatan Nasional (PN) serta BN mempunyai jentera yang berpengalaman dan tidak berdepan masalah.

"Cuma perlukan pemantauan sebab itu kita bersetuju membentuk satu jawatankuasa Bersama Muafakat Nasional ‘Plus' bersama dengan dianggotai Bersatu, PAS dan parti-parti lain buat pertama kali atas semangat PN," ujar beliau.

PRK DUN Slim diadakan selepas penyandang, Mohd Khushairi Abdul Talib, 59 tahun, meninggal dunia pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh pengundian manakala 15 Ogos bagi penamaan calon dan 25 Ogos tarikh pengundian awal.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Encik Mohd Khusairi, yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Encik Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Encik Muhammad Zulfadli Zainal. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan