Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO nafi keluarkan surat sokong Anwar selaku PM baru

Surat yang tular di media sosial kononnya Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi sokongan dan kepercayaan kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baru sejak tengah hari Sabtu (17 Okt) disahkan palsu.

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO nafi keluarkan surat sokong Anwar selaku PM baru

(Gambar: Sumber awam menerusi BERNAMA)

Diterbitkan : 17 Oct 2020 11:04PM Dikemas Kini : 17 Oct 2020 11:05PM

KUALA LUMPUR: Surat yang tular di media sosial kononnya Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi sokongan dan kepercayaan kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baru sejak tengah hari Sabtu (17 Okt) disahkan palsu.

Pejabat Presiden UMNO pada Sabtu menegaskan bahawa ia tidak pernah mengeluarkan surat yang didakwa dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang itu sebagai Perdana Menteri Kesembilan Malaysia.

Setiausaha Kerja UMNO Mohd Sumali Reduan menjelaskan bahawa beliau dan pegawai Pejabat Presiden UMNO sering bertanggungjawab menyediakan segala surat menyurat dan ‘letter head’ tidak pernah dikeluarkan tanpa nombor rujukan.

“Penyebaran surat rasmi berkenaan sangat melampau dan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan dan berniat jahat bertujuan untuk merosakkan imej Presiden UMNO,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sejak tengah hari Sabtu, tular mesej dokumen format mudah alih “Surat UMNO kpd Agong.pdf” memaparkan surat yang didakwa ditandatangani Presiden UMNO berhubung pendirian Ahli Parlimen UMNO memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada Encik Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Surat bertarikh 11 Oktober itu, yang kononnya ditandatangani Dr Ahmad Zahid dan disaksikan serta disokong Ahli Parlimen Pekan Najib Tun Razak selaku Penasihat Barisan Nasional, antara lain bagi mengesahkan bahawa Dr Ahmad Zahid bersama Najib dan sejumlah Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan dan kepercayaan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan memberi sokongan kepada Encik Anwar.

Beberapa pemimpin UMNO dalam reaksi mereka menafikan dakwaan memberi sokongan kepada Encik Anwar.

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, yang juga Menteri Luar, dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya menulis: “Seperti @DrZahidHamidi sebut sebelum ini, beliau tidak boleh halang MP sokong Anwar. Tetapi jika surat yang tular hari ini benar, saya tidak dimaklumkan dan ia BUKAN pendirian saya sebagai MP UMNO. Saya mahu nyatakan dengan jelas saya TIDAK sokong Anwar sebagai PM. Saya konsisten - NO ANWAR NO DAP.” 

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, menafikan pernah menyatakan sokongannya kepada Encik Anwar.

“Jika surat itu benar, saya ingin menyatakan secara tegas bahawa pendirian presiden parti tidak mewakili suara saya. Saya tidak menyatakan sokongan untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Saya harap Ahli Parlimen UMNO lain akan menyatakan pendirian mereka dengan jelas. Mari kita lihat siapa yang ada angka,” katanya seperti dipetik menerusi laman Instagramnya pada Sabtu. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan