Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UMNO dapat semula RM192 juta; gugurkan prosiding mahkamah terhadap CIMB

UMNO pada Isnin (6 Jul) menarik balik permohonannya untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap CIMB Bank, berikutan parti politik itu mendapat semula kebenaran untuk mengakses akaunnya di bank tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
UMNO dapat semula RM192 juta; gugurkan prosiding mahkamah terhadap CIMB

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 06 Jul 2020 05:41PM Dikemas Kini : 06 Jul 2020 05:44PM

KUALA LUMPUR: UMNO pada Isnin (6 Jul) menarik balik permohonannya untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap CIMB Bank, berikutan parti politik itu mendapat semula kebenaran untuk mengakses akaunnya di bank tersebut.

Peguam Tania Scivetti, yang mewakili UMNO, memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan, arahan diberikan kepada beliau untuk menarik balik permohonan itu, yang dijadual didengar hari ini (6 Jul).

Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan untuk menarik balik dan membatalkan permohonan berkenaan.

Sementara itu, peguam mewakili CIMB, Rabindra Nathan memaklumkan mahkamah bahawa UMNO sudah diberi akses kepada akaun miliknya sejak Jumaat lalu.

“Ia (pembekuan akaun) telah ditarik balik pada 2.22 petang, 3 Julai,” katanya.

Pada 2 Julai, UMNO memohon untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap CIMB atas dakwaan bank itu tidak mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Jun yang menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan berhubung permohonan untuk melucut hak wang itu.

Pada 7 Feb, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan kerajaan untuk melucutkan hak wang berjumlah RM192,965,413.61 (S$62.7 juta) daripada UMNO yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Wang itu dipercayai mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada UMNO.

Dalam keputusannya, hakim itu berkata tidak dapat dibuktikan dengan pasti bahawa wang itu diberikan oleh bekas perdana menteri dan tiada sebarang keterangan untuk membuktikan ia diperolehi menerusi aktiviti tidak sah.

Permohonan lucut hak itu difailkan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sumber : Bernama/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan