UK mungkin sekat vaksin AstraZeneca untuk golongan lebih muda
LONDON: Pengawal selia kesihatan Britain sedang menimbangkan saranan untuk menyekat penggunaan vaksin Oxford-AstraZeneca dalam kalangan orang-orang lebih muda menyusuli kebimbangan tentang kes darah beku yang amat jarang berlaku.
Demikian menurut laporan Channel 4 News pada Isnin (5 Apr).
"Dua sumber kanan sudah memaklumkan kepada program ini bahawa meskipun datanya masih belum jelas, terdapat semakin banyak hujah untuk mewajarkan orang muda - di bawah usia sekurang-kurangnya 30 tahun - ditawarkan vaksin yang berbeza," menurut laporan penyiar itu.
Pengawal selia UK, MHRA, sebelum ini menyatakan manfaat vaksin tersebut untuk mencegah COVID-19 jauh melebihi sebarang kemungkinan risiko darah beku.
MHRA bagaimanapun tidak segera menjawab komen kepada laporan Channel 4.
- Reuters/NK/nk