Images
  • t4 eiacs
    Terminal 4 Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Ujian kad ketibaan elektronik diperluas kepada lebih ramai pengunjung

SINGAPURA: Lebih ramai pengunjung yang melawat Singapura kini boleh menyerahkan kad ketibaan mereka secara elektronik setelah Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) melancarkan versi beta khidmat elektronik Kad Ketibaan SG hari ini (14 Ogos).

Khidmat itu disediakan di laman ICA dan dalam bentuk aplikasi mudah alih. Ia membolehkan para pengunjung yang melakukan perjalanan melalui sesetengah pengendali pengangkutan untuk menyerahkan kad ketibaan mereka secara elektronik, sehingga 14 jam sebelum mereka tiba di Singapura.

Para pengendali pengangkutan yang terlibat dengan percubaan itu termasuk AirAsia, Jetstar Asia, Cathay Pacific, Singapore Airlines, Transtar Travel, BatamFast Ferries, Bintan Resort Ferries, Horizon Fast Ferry dan Majestic Fast Ferry.

"Para pengguna aplikasi mudah alih akan diberi pilihan untuk mengimbas muka surat biodata pasport mereka dan tidak lagi perlu memasukkan maklumat secara manual," menurut ICA.

Kad-kad ketibaan akan digantikan sepenuhnya dengan versi elektronik menjelang 2021.

"ICA akan mengkaji hasil percubaan ini dan memperluaskan kemudahan itu kepada para pengunjung asing secara bertahap-tahap," menurut pihak berkuasa tersebut sambil menyatakan bahawa butiran lanjut akan diumumkan kelak.

Pada April, ICA mengumumkan bahawa para pengunjung asing tidak lagi perlu mengecop pasport mereka apabila meninggalkan Singapura iaitu satu langkah bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pelepasan imigresen.

Para pengunjung yang mendaftarkan cap jari mereka dalam sistem BioScreen apabila tiba di Singapura layak menggunakan lorong-lorong automatik apabila meninggalkan negara ini.

Proses itu diperluaskan kepada semua warga asing yang meninggalkan Singapura, mulai 22 April. 

- CNA/AI/ai

Top