Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Ubat kutu' mungkin mampu rawat jangkitan COVID-19

Pasukan penyelidik dari Melbourne mendakwa bahawa ubat antiparasit yang biasa digunakan untuk memerangi gejala kutu kepala mampu membunuh virus yang menyebabkan COVID-19 dalam tempoh 48 jam, lapor Daily Mail.

Anggaran Waktu Membaca:
'Ubat kutu' mungkin mampu rawat jangkitan COVID-19

Kajian oleh Universiti Monash menunjukkan dos tinggi ubat biasa Ivermectin dapat menghalang virus SARS-CoV-2 yang hidup di dalam sel manusia.

Diterbitkan : 05 Apr 2020 09:09AM Dikemas Kini : 05 Apr 2020 09:46AM

SYDNEY: Pasukan penyelidik dari Melbourne mendakwa bahawa ubat antiparasit yang biasa digunakan untuk memerangi gejala kutu kepala mampu membunuh virus yang menyebabkan COVID-19 dalam tempoh 48 jam, lapor Daily Mail.

Kajian yang diketuai oleh Universiti Monash itu menunjukkan dos tinggi ubat biasa Ivermectin dapat menghalang virus SARS-CoV-2 yang hidup di dalam sel manusia.

Menurut laporan Daily Mail, Ivermectin dikaji secara meluas dalam manusia dan dianggap cukup selamat.

Ia juga adalah senarai ubat-ubatan penting Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Para saintis kini berharap untuk mendapatkan pembiayaan dalam percubaan selanjutnya, lapor Daily Mail.

Dr Kylie Wagstaff dari Institut Penemuan Bioperubatan Monash berkata apabila vaksin COVID-19 siap dalam sedikit masa lagi, kompaun seperti Ivermectin yang boleh didapatkan di seluruh dunia dapat membantu mangsa jangkitan dengan lebih pantas jika ia terbukti berkesan.

"Oleh kerana ia diluluskan oleh FDA, jika ia menunjukkan keberkesanan yang cukup ketika proses praklinikal, kita boleh mengaplikasikannya terus kepada manusia.

"Kami tidak mencari keselamatan, kami hanya mencari keberkesanan," katanya.

Dr Wagstaff bagaimanapun memberi amaran kepada mana-mana individu yang mencuba ubat preskripsi itu sebelum ia menjalani ujian klinikal manusia yang pastinya memerlukan pembiayaan.

"Seperti ubat lain, ia satu preskripsi dan tidak diluluskan untuk penggunaan antivirus kerana masih dalam bidang eksperimen," katanya.

Penawar yang digunakan untuk merawat pelbagai jangkitan parasit adalah salah satu daripada yang diuji untuk mencari vaksin COVID-19.

Eksperimen ubat-ubatan yang digunakan untuk memerangi malaria, HIV dan Ebola juga sedang diuji.

Selepas laporan mengenai kejayaan penawar di dalam petri yang dilancarkan pada Sabtu, Menteri Kesihatan Victoria Jenny Mikakos mengingatkan orang ramai supaya jangan menelan ubat berkenaan kerana ia boleh membawa maut

"Kami telah melihat ramai orang di luar negara yang telah mendengar mengenai perkembangan ini, namun mengambilnya dengan cara yang tidak betul dan meninggal dunia.

"Tidak ada sebab untuk membeli rawatan kutu melainkan jika anda menggunakannya pada rambut anak-anak anda," katanya di satu sidang media.

Langkah seterusnya adalah untuk para saintis menentukan dos Ivermectin yang betul untuk manusia.

Sehingga kini, tidak diketahui dengan tepat bagaimana Ivermectin berfungsi terhadap SARS-CoV-2, iaitu virus yang menyebabkan COVID-19, namun sebatian penawar itu dianggap sebagai penghalang salah satu proses semula jadi sel.

Sesetengah virus RNA menggunakan sistem sel sendiri untuk menghantar protein ke nukleus sel yang menghalang sistem imun daripada menyerang virus.

Ivermectin bukan sasaran virus tetapi sistem perhubungan yang berkesan menyekat virus itu dengan sendiri.

"Oleh kerana ia ditujukan kepada empunya diri, ia boleh memberi kesan ke atas seluruh badan, tetapi ia telah wujud selama 30 tahun dan berada dalam diri beratus ribu orang.

"Oleh kerana ia menyasarkan sel, kami telah menunjukkan bahawa ia agak berkesan terhadap banyak virus RNA yang berbeza.

"COVID-19 adalah virus RNA, jadi kami mengesyaki ia menggunakan mekanisme yang sama," kata Dr Wagstaff.

Ivermectin juga terbukti berkesan dalam kajian makmal terhadap virus termasuk HIV, denggi dan influenza.

Kajian ini adalah hasil kerjasama Institut Penemuan Bioperubatan Monash dan Peter Doherty dari Institut Jangkitan dan Imuniti, dengan penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Antiviral Research.

Sumber : Agensi berita/AW/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan