Images
  • uae nuklear plant
    Loji tenaga nuklear Barakah di UAE (Gambar: AFP)

UAE hidupkan loji tenaga nuklear pertama di tanah Arab

ABU DHABI: Amiriah Arab Bersatu yang kaya dengan minyak pada Sabtu (1 Ogos) mengumumkan loji tenaga nuklearnya di Barakah sudah beroperasi, iaitu yang pertama dalam sejarah dunia Arab.

"Reaktor nuklear pertama UAE di Loji Tenaga Nuklear Barakah sudah mencapai tahap kritikal pertama dan berjaya dihidupkan," kata Hamad Alkaabi, wakil negara itu ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, melalui Twitter.

"Ini adalah detik bersejarah bagi negara dengan visi untuk menghasilkan bentuk baru tenaga bersih untuk negara," katanya di Twitter dalam bahasa Inggeris, bersama dengan gambar juruteknik yang mengangkat tangan sebagai meraikan kejayaan itu.

Perdana Menteri UAE yang juga Emir Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum, menulis di Twitter bahawa kerja-kerja di Barakah "berjaya memuatkan pakej bahan bakar nuklear, melakukan ujian menyeluruh dan berjaya menyelesaikan operasi".

UAE mula memasukkan batang bahan bakar ke dalam reaktor di Barakah pada Februari, setelah pihak pentadbir memberi lampu hijau bagi satu daripada empat reaktor di loji itu, membuka laluan untuk melaksanakan operasi komersil.

Loji Barakah yang terletak di pantai Teluk di barat Abu Dhabi dijadualkan beroperasi pada lewat 2017 tetapi ditangguhkan beberapa kali atas alasan keselamatan dan memenuhi keperluan peraturan.

Syarikat Tenaga Nawah, ketika itu menyatakan bahawa Unit 1 akan mula beroperasi setelah satu "siri ujian".

Loji itu dibina oleh sebuah konsortium diketuai Korea Electric Power Corporation dalam satu kerjasama bernilai lebih AS$20 bilion (S$27.5 bilion).

Apabila beroperasi sepenuhnya, empat reaktor itu mampu menjana 5,600 megawatt tenaga elektrik, kira-kira 25 peratus keperluan negara itu.

UAE mempunyai simpanan minyak dan gas yang besar, namun dengan 10 juta penduduk, ia telah membuat pelaburan besar dalam mengembangkan alternatif bersih, termasuk tenaga suria.

Loji nuklear itu adalah yang pertama di rantau itu. Arab Saudi, pengeksport utama minyak di dunia, menyatakan pihaknya merancang untuk membangunkan sehingga 16 reaktor nuklear, tetapi projek itu belum lagi dilaksanakan. 

- AFP/TQ/tq

Top