Images
  • twitter
    (Gambar fail: Mike Blake/Reuters)

Twitter siasat gangguan seluruh dunia

SAN FRANCISCO: Twitter pada Khamis (15 Okt) malam berusaha untuk menghuraikan gangguan global di wadah media sosial syarikat itu yang digunakan oleh ratusan juta orang di seluruh dunia.

Gangguan itu adalah masalah terbaru dihadapi rangkaian itu, yang sedang cuba menepis tuduhan sikap berat sebelah berhubung keputusan untuk menyekat laporan berita yang mengkritik calon Rumah Putih Demokrat Joe Biden.

"Kami tahu orang ramai sedang menghadapi masalah menghantar tweet dan menggunakan Twitter. Kami sedang berusaha menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," kata seorang jurucakap syarikat itu kepada AFP pada pukul 2225 GMT (6.25 pagi waktu Singapura).

Percubaan berulang kali untuk mengirim tweet sebaliknya memaparkan pesanan: "Ada masalah berlaku, tetapi jangan bimbang - cuba sekali lagi."

Menurut downdetector.com, para pengguna di setiap benua melaporkan mereka tidak dapat menggunakan wadah itu, tetapi kebanyakan gangguan berlaku di pantai timur dan pantai barat Amerika Syarikat, serta Jepun.

Gangguan itu bermula pada sekitar pukul 2130 GMT (Jumaat, 5.30 pagi, waktu Singapura).

- AFP/NA/na

Top