Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Twitter gantung selamanya akaun Trump

Twitter menggantung selamanyya akaun milik Presiden Donald Trump.

Anggaran Waktu Membaca:
Twitter gantung selamanya akaun Trump

Akaun Twitter Presiden AS Donald Trump digantung selamanya, pada 8 Jan 2021. (Petikan gambar: Twitter/realDonaldTrump)

Diterbitkan : 09 Jan 2021 07:57AM Dikemas Kini : 09 Jan 2021 10:43AM

AMERIKA SYARIKAT: Twitter menggantung selamanyya akaun milik Presiden Donald Trump.

Demikian menurut syarikat itu di lamannya.

"Setelah meneliti catatan-catatan yang dibuat di akaun @realDonaldTrump dan konteksnya, kami memutuskan untuk menggantung akaun tersebut buat selama-lamanya kerana ia berisiko mencetuskan keganasan," menurut Twitter.

Akaun itu mempunyai lebih 88.5 juta pengiktu sebelum ia digantung selamanya.

Awal minggu ini, Twitter sudahpun menyekat sementara akaun Encik Trump menyusuli rusuhan di Capitol Hill Rabu lalu (6 Jan) oleh para penyokong Trump dan ia memberi amaran bahawa akaun Encik Trump akan digantung selamanya jika berlaku pelanggaran tambahan kepada syarat dan peraturan Twitter.

"Dalam konteks kejadian ngeri minggu ini, kami sudah menekankan pada Rabu (6 Jan) bahawa pelanggaran tambahan terhadap syarat dan peraturan Twitter akan mendorong kami untuk mengambil tindakan ini."

Syarikat-syarikat media sosial sudah mula mengambil tindakan ke atas akaun-akaun Encik Trump sejak berlaku rusuhan tersebut. Facebook sebelum ini menyatakan bahawa ia akan menggantung akaun Encik Trump sehingga penggalnya sebagai presiden berakhir.

Encik Trump dijadual menyerahkan jawatan presiden kepada penggantinya Joe Biden pada 20 Jan.

Setakat ini tiada komen daripada Rumah Putih.

Dalam catatan blog semalam (8 Jan), Twitter menyatakan dua daripada catatan Encik Trump melanggar dasarnya mengenai keganasan.

Encik Trump diminta memadamkan tiga catatannya yang melanggar peraturan Twitter sebelum akaunnya disekat.

Beliau bagaimanapun kembali ke Twitter dan memuat naik sebuah video pada Khamis (7 Jan) mengakui bahawa Encik Biden akan menjadi presiden baru Amerika.

Twitter juga menyatakan ia akan menggantung selama-lamanya akaun-akaun yang mengongsi catatan-catatan QAnon, mengharamkan para penyokong berhaluan kanan daripada terus-menerus menyebarkan teori-teori konspirasi mereka. Ini termasuk Michael Flynn dan Sidney Powell, menyusuli insiden penyokong Encik Trump menyerbu bangunan Capitol.

Encik Flynn, bekas penasihat keselamatan negara kepada Encik Trump dan Encik Powell, bekas peguam bagi kempen Encik Trump kedua-duanya adalah sekutu presiden dan mereka menimbulkan keraguan tentang kekalahan Encik Trump dalam pilihan raya 2020.

Twitter juga menggantung akaun Ron Watkins, pentadbir laman 8kun, yang menjadi pangkalan bagi gerakan konspirasi QAnon.

"Memandangkan terdapat potensi berlaku keganasan baru disebabkan oleh perbuatan ini pada masa-masa akan datang, kami akan menggantung buat selama-lamanya akaun-akaun yang semata-mata bertujuan untuk berkongsi catatan QAnon," menurut Twitter dalam kenyataannya.

Para pengikut QAnon berpegang kepada dakwaan tidak munasabah yang dimuat naik oleh individu tidak diketahui yang digelar "Q", yang mendakwa mempunyai maklumat orang dalam tentang pentadbiran Encik Trump.

Teras teori-teori konspirasi yang tidak berasas oleh QAnon mendakwa bahawa Encik Trump secara senyap-senyap sedang membanteras komplot pelaku seks kanak-kanak yang termasuk seorang individu berpengaruh Democrat, golongan elit Hollywood dan sekutu-sekutu dalam negara.

QAnon diagungkan di laman Twitter, Facebook, Instagram dan YouTube. Antara penyokongnya adalah mereka yang menyertai rusuhan di Capitol, menyebabkan lima orang terbunuh.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan