Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Turki perketat langkah bendung COVID-19

Turki mengumumkan beberapa lagi langkah pencegahan baru yang lebih ketat bagi membendung penyebaran COVID-19 termasuk melarang kenderaan keluar masuk di 31 wilayah selama 15 hari, lapor agensi berita Anadolu.

Anggaran Waktu Membaca:
Turki perketat langkah bendung COVID-19

2 orang kelihatan berjalan di Istanbul, Turki dengan memakai pelitup muka pada 1 Apr 2020 (Gambar: Ozan KOSE/AFP)

Diterbitkan : 04 Apr 2020 03:15PM Dikemas Kini : 04 Apr 2020 03:17PM

ANKARA: Turki mengumumkan beberapa lagi langkah pencegahan baru yang lebih ketat bagi membendung penyebaran COVID-19 termasuk melarang kenderaan keluar masuk di 31 wilayah selama 15 hari, lapor agensi berita Anadolu.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata ia termasuk bandar Istanbul, yang menempatkan hampir seperlima penduduk Turki, serta pusat bandar seperti Ankara, Izmir, Bursa dan Adana.

Pasukan polis akan mula melaksanakan langkah itu dengan menubuhkan pusat pemeriksaan di pintu masuk dan keluar bermula tengah malam (5 Apr).

Erdogan turut mengenakan perintah berkurung ke atas golongan berumur 20 tahun ke bawah dan hanya boleh keluar rumah jika benar-benar perlu.

Memakai pelitup muka di kawasan tumpuan ramai termasuk kedai diwajibkan dan perhimpunan awam di kawasan terbuka pula tidak dibenarkan.

Bulan lalu, Turki mengarahkan sekolah, kafe, restoran, pawagam dan beberapa kawasan tumpuan awam ditutup selain membatalkan acara sukan.

Pelancong antara bandar juga perlu menjalani saringan kesihatan di setiap pintu masuk.

Mereka yang berusia lebih 65 tahun atau menghidap penyakit kronik dilarang keluar rumah.

Turki mencatatkan 20,921 kes positif COVID-19, dengan angka korban seramai 425 orang. Seramai 484 pesakit sudah sembuh sepenuhnya.

Sejak pertama kali muncul di Wuhan, China Disember lalu, COVID-19 kini menular ke sekurang-kurangnya 181 negara dan wilayah.

Data Universiti Johns Hopkins di Amerika Syarikat menunjukkan jumlah jangkitan di seluruh dunia sudah melepasi sejuta orang dengan hampir 60,000 kematian.

Lebih 226,100 pesakit sudahpun sembuh.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan