Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Turki isytihar boikot barangan elektronik AS

Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Selasa (14 Ogos) mengumumkan bahawa Turki akan memboikot barangan elektronik Amerika Syarikat, sebagai tindak balasan terhadap sekatan oleh Washington ke atas Ankara ekoran penahanan seorang pastor Amerika.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Aug 2018 09:27PM Dikemas Kini : 15 Aug 2018 02:14AM

ISTANBUL: Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Selasa (14 Ogos) mengumumkan bahawa Turki akan memboikot barangan elektronik Amerika Syarikat. Langkah itu sebagai tindak balasan terhadap sekatan oleh Washington ke atas Ankara ekoran penahanan seorang pastor Amerika.

"Kita akan memboikot barangan elektronik Amerika Syarikat," isytihar Encik Erdogan dalam satu ucapan yang disiarkan menerusi telelevisyen. Ini lantas meningkatkan taruhan dalam sengketa yang mengakibatkan matawang lira Turki menjunam ke paras paling rendah.

"Kalau (Amerika Syarikat) mempunyai iPhone, ada terdapat Samsung di belah sana pula," kata beliau merujuk kepada telefon ikonik oleh syarikat Apple dan jenama terunggul Korea Selatan.

"Kita (juga) ada Venus dan Vestel," beliau merujuk pula pada jenama elektronik keluaran Turki.

Hubungan antara kedua-dua sekutu NATO ini menjadi keruh dalam salah satu krisis paling buruk dalam beberapa dekad, menyusuli penahanan seorang paderi Amerika Syarikat, Andrew Brunson. Penahanan tersebut, yang dibuat atas tuduhan berhubung pengganasan, mengakibatkan mata wang lira Turki menjunam berbanding dolar amerika.

Encik Erdogan sebelum ini berkali-kali dilihat menggunakan produk Apple seperti iPhone dan iPad. Beliau juga menyampaikan ucapan terkenalnya pada Julai 2016 selepas satu rampasan kuasa yang gagal, menerusi aplikasi Facetime di iPhone.

Kejatuhan matawang lira yang berlarutan beberapa minggu, dikeruhkan lagi pada Jumaat apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menulis tweet mengumumkan bahawa Washington akan menggandakan tarif ke atas aluminum dan keluli dari Turki.

Syarikat penerbangan Turkish Airlines juga mengumumkan di Twitter bahawa ia akan menyertai kempen yang menular dengan hashtag #ABDyeReklamVerme (jangan beri iklan kepada Amerika).

"Kami, Turkish Airlines, bersatu dengan negara dan rakyat. Arahan sewajarnya sudah diberikan kepada para agensi kami," menurut jurucakap syarikat tersebut Yahya Ustun, menerusi Twitter.

Encik Erdogan berkata Turki sedang menghadapi "serangan ekonomi" dan "operasi lebih besar dan mendalam" namun tidak menunjukkan sebarang tanda akan beralah kepada Amerika Syarikat.

"Mereka tidak teragak-agak menggunakan ekonomi sebagai senjata," katanya.

"Apa yang anda mahukan? Apa yang anda ingin capai," tambahnya, merujuk kepada Amerika Syarikat.

Encik Erdogan akur bahawa Turki mempunyai masalah ekonomi, termasuk kadar inflasi hampir 16 peratus dan defisit akaun semasa, namun beliau menekankan, "Alhamdulillah, ekonomi kita berfungsi seperti putaran jam."

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan