Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Turki bakal dedah lapangan terbang baru Istanbul

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dijadual merasmikan lapangan terbang antarabangsa baru Istanbul pada Isnin (29 Okt). 

Anggaran Waktu Membaca:
Turki bakal dedah lapangan terbang baru Istanbul

Presiden Erdogan mengajukan gagasan projek bernilai 10.5 bilion euro dalam usahanya untuk menjadikan Istanbul sebuah hab perjalanan global. (Gambar: Bulent Kilic/AFP)

Diterbitkan : 29 Oct 2018 04:52PM Dikemas Kini : 29 Oct 2018 04:56PM

ISTANBUL: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dijadual merasmikan lapangan terbang antarabangsa baru Istanbul pada Isnin (29 Okt). Menurut pemerintah Turki, ia bakal menjadi lapangan terbang yang terbesar di dunia.

Lapangan terbang itu adalah salah satu daripada projek mega yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Presiden Erdogan. Ia sebenarnya dijadual dibuka sepenuhnya pada Isnin (29 Okt), namun kerja-kerja pembinaan terjejas akibat penangguhan dan tunjuk perasaan oleh para pekerja terhadap keadaan pekerjaan yang kurang baik.

Encik Erdogan mengajukan gagasan projek bernilai 10.5 bilion euro (S$16.5 bilion) itu dalam usahanya untuk menjadikan Istanbul sebuah hab perjalanan global yang menghubungkan Eropah, Asia dan Afrika serta menjadikan Turkish Airlines sebuah syarikat penerbangan gergasi.

Lapangan terbang itu bagaimanapun hanya akan menawarkan penerbangan ke lima destinasi sehingga pembukaan sepenuhnya pada 29 Disember, apabila ia dijangka menguruskan sehingga 90 juta penumpang setiap tahun. Jumlah itu akan meningkat ke 200 juta penumpang apabila semua kemudahan siap dibina pada tahun 2028.

Jumlah tersebut adalah dua kali ganda jumlah penumpang yang melalui lapangan terbang paling sibuk di dunia pada masa ini, iaitu Lapangan Terbang Hartsfield-Jackson di Atlanta, Amerika Syarikat.

Penerbangan pertama dari lapangan terbang yang belum diberi nama itu akan berlepas ke Ankara pada Khamis (1 Nov).

(Gambar: Bulent Kilic/AFP)

Presiden Erdogan dijangka mendedahkan nama baru bagi lapangan terbang itu semasa majlis perasmian yang akan diadakan pada 9 malam waktu Singapura hari ini (29 Okt), dihadiri oleh para pemimpin asing Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani dan Presiden Sudan, Omar al-Bashir.

Majlis perasmian lapangan terbang baru itu, yang akan menggantikan Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul, diadakan sempena ulang tahun negara Turki moden yang ke-95 sejak diasaskan Mustafa Kemal Ataturk.

Apabila siap dibina pada tahun 2028, lapangan terbang itu akan dilengkapi dengan enam landasan kapal terbang dan dua terminal di kawasan seluas 76 kilometer persegi. Ini sekaligus menjadikannya sebesar tiga kali saiz Lapangan Terbang Ataturk.  

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan