Images
  • iran vigil
    (Gambar: AFP)

Tunjuk perasaan kian meruncing di Iran

DUBAI: Polis Pencegah Rusuhan menambah keanggotaannya di Tehran, ibu kota Iran hari ini (12 Jan) bagi mengawal jalan-jalan raya di negara itu untuk mengekang bantahan-bantahan anti-pemerintah.

Ribuan penunjuk perasaan mengadakan bantahan di Tehran sehingga lewat malam semalam, bagi menyuarakan kemarahan mereka selepas tentera Iran mengakui tersilap menembak sebuah pesawat Ukraine.

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata ke atas ribuan rakyat Iran yang memenuhi jalanan di ibu kota serta bandar lain, kebanyakan mereka melaungkan 'kematian kepada diktator' dan menuntut agar pemimpin ulung Iran Ayatollah Ali Khamenei, meletak jawatan.

Beberapa orang dilaporkan ditahan.

Tunjuk perasaan tercetus selepas tentera Iran mengaku tersilap menembak jatuh pesawat Ukraine dengan peluru berpandu selepas ia berlepas dari ibu kota Tehran, Rabu lalu.

Kesemua 176 orang penumpang dan kakitangan pesawat Ukraine International Airlines (UIA) terbunuh, kebanyakannya warga Iran yang memiliki dua kerakyatan.

Seorang Komander pasukan Revolusioner Iran mengaku akan bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden tersebut.

Menurutnya pegawai yang melancarkan peluru berpandu itu menyangka pesawat tersebut adalah peluru berpandu Cruise pihak musuh.

Tragedi tersebut berlaku tidak lama selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas dua pangkalan tentera di Iraq yang menempatkan askar-askar Amerika.

Bantahan merebak ke serata Iran sejak semalam, termasuk bandar utama seperti Shiraz, Isfahan, Hamedan dan Orumiyeh.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam catatan di Twitter berkata: “Kami mengikuti tunjuk perasaan anda dengan rapi dan terharu dengan keberanian anda. Tidak boleh berlaku satu lagi pembunuhan beramai-ramai terhadap penunjuk perasaan secara aman, atau penutupan internet," katanya.

- Agensi berita/MM/SU/tq

Top