Tunisia haramkan niqab di pejabat pemerintah susuli serangan maut
Perdana Menteri Tunisia pada Jumaat (5 Jul) mengharamkan niqab di pejabat-pejabat pemerintah, didorong oleh kebimbangan menyusuli serangan-serangan yang berlaku di negara Afrika Utara itu.
TUNIS: Perdana Menteri Tunisia pada Jumaat (5 Jul) mengharamkan niqab di pejabat-pejabat pemerintah, didorong oleh kebimbangan menyusuli serangan-serangan yang berlaku di negara Afrika Utara itu.
Perdana Menteri Youssef Chahed menandatangani satu makluman pemerintah yang "mengharamkan sesiapa yang menutup muka mereka daripada mengakses sebarang pejabat pentadbiran atau institusi-institusi awam ... atas sebab-sebab keselamatan," menurut pejabatnya.
Larangan terhadap niqab yang menutup muka kecuali bahagian mata, dikuatkuasakan menyusuli serangan nekad yang dilancarkan pada 27 Jun di Tunis yang meragut dua nyawa dan mencederakan tujuh yang lain.
Menteri Dalam Negeri Tunisia mengarahkan polis pada Februari 2014 supaya meningkatkan pemantauan terhadap pemakaian niqab sebagai sebahagian daripada langkah-langkah antipengganasan bagi mencegah penggunaannya sebagai muslihat untuk mengelak hukuman.
Reaksi terhadap larangan itu bercampur-campur di ibu kota Tunisia.
"Mereka berhak mengharamkan (pemakaian niqab) di tengah-tengah keadaan yang dilalui sekarang," kata Ilhem, seorang gadis Tunisia.
Beliau menambah: “Hakikatnya, ia tetap hak individu."
Seorang wanita bernama Lina pula menyoal "mengapa kaum wanita yang perlu berkorban setiap kali langkah keselamatan dikuatkuasakan".
Liga Tunisia bagi Memperjuangkan Hak Asasi Manusia menggesa agar langkah itu dikuatkuasakan buat sementara waktu sahaja.
"Kami berpegang kepada hak untuk memilih pakaian kami sendiri, namun dengan situasi sekarang dan ancaman pengganasan di Tunisia dan merata rantau ini, kami mendapati terdapat alasan yang wajar di sebalik keputusan ini," kata presiden liga itu, Jamel Msallem kepada AFP.
Beliau menekankan, pengharaman itu perlu ditarik balik sebaik saja "keadaan keselamatan kembali normal di Tunisia".
Menyusuli serangan maut pada 2015 yang menyasarkan pasukan keselamatan dan para pelancong, terdapat gesaan di Tunisia untuk menguatkuasakan semula larangan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.