Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tun Mahathir mohon maaf atas kesalahan 'masa lalu'

Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini (30 Dis) memohon maaf atas 'segala kesalahan yang dilakukan selama beliau terlibat dalam politik negara'.

Anggaran Waktu Membaca:
Tun Mahathir mohon maaf atas kesalahan 'masa lalu'

Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: MANAN VATSYAYANA / AFP)

Diterbitkan : 30 Dec 2017 04:15PM Dikemas Kini : 30 Dec 2017 04:18PM

SHAH ALAM: Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini (30 Dis) memohon maaf atas 'segala kesalahan yang dilakukan selama beliau terlibat dalam politik negara'.

Beliau berkata demikian ketika mengakhiri ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pusat Konvensyen Ideal, lapor Astro Awani.

"Sebelum saya akhiri ucapan ini, saya ingin mohon ampun dan maaf jika terkasar bahasa dan tersinggung perasaan sesiapa.

"Saya, seperti manusia lain tidak mungkin sunyi dari berkata dan melakukan kesalahan bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara.

"Saya mohon maaf terhadap apa juga kesalahan saya selama itu," kata beliau yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan.

Namun apabila ditanya sekiranya permohonan maaf yang dinyatakannya termasuk ketika Operasi Lalang serta Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir hanya tersenyum.

"Terserah bagaimana anda ingin menafsirkan itu," kata beliau.

PENGKHIANAT PPBM 'SAMPAH'

Dalam laporan Astro Awani, Dr Mahathir turut mengulas tentang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang memerlukan perpaduan yang erat selain mengetepikan perbezaan pendapat antara ahli, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana tidak kira siapa pun yang menjadi pimpinan, pasti ada pihak yang tidak akan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.

"Ingatlah, tidak ada seorang pun diantara kita yang 100 peratus disukai oleh ahli dan pimpinan parti.

"Pilihlah dan tukarlah siapa pun, akan ada ramai yang tidak puas hati dengan tindakan yang diambil. Perpecahan tetap akan berlaku," kata Dr Mahathir dalam ucapannya di acara yang sama hari ini (30 Dis).

Dalam laporan Astro Awani, beliau turut mengatakan bahawa tiada tempat bagi golongan sebegitu dalam PPBM.

"Saya kata mereka ini adalah 'sampah'. Saya tidak minta maaf.

"Mereka lebih buruk dari musuh kita. Mereka mengkhianati perjuangan suci kita," kata Dr Mahathir. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan