Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tulang rusuk anggota bomba Muhammad Adib patah; tusuk paru-parunya

Seorang pakar perubatan forensik memberitahu Mahkamah Koroner Malaysia hari ini (22 Mac) bahawa tulang rusuk keempat dan kelima Muhammad Adib Mohd Kassim yang patah menusuk ke dalam paru-paru sebelah kanan anggota bomba berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tulang rusuk anggota bomba Muhammad Adib patah; tusuk paru-parunya

Anggota bomba Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Diterbitkan : 22 Mar 2019 06:07PM Dikemas Kini : 22 Mar 2019 06:09PM

SHAH ALAM: Seorang pakar perubatan forensik memberitahu Mahkamah Koroner Malaysia hari ini (22 Mac) bahawa tulang rusuk keempat dan kelima Muhammad Adib Mohd Kassim yang patah menusuk ke dalam paru-paru sebelah kanan anggota bomba berkenaan.

Dr Ahmad Hafizam Hasmi dari Hospital Kuala Lumpur berkata dapatan itu diperolehinya selepas melakukan pemeriksaan dalaman dada anggota bomba berkenaan pada pukul 1.00 pagi, 18 Disember 2018.

"(Kami) jalankan pemeriksaan dalaman dada si mati. Tulang sternum tak patah, tulang rusuk kanan kedua hingga kelima patah pada hadapan dan sisi.

"Tulang rusuk ketiga patah pada tiga tempat dan tulang rusuk keempat patah dua tempat," kata saksi ke-24 itu ketika menjawab soalan pegawai pengendali Hamdan Hamzah semasa prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Allahyarham Muhammad Adib, 24 tahun, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Semasa prosiding itu yang memasuki hari ke-16, saksi berkata pemeriksaan luaran pihaknya ke atas jasad Muhammad Adib, yang ketinggian 175 sentimeter dan seberat 83 kilogram, kelihatan mempunyai sfera mata kekuningan.

Beliau juga berkata otak mangsa berwarna kehijauan disebabkan sejenis ubat yang diberikan kepadanya ketika dirawat di IJN.

Prosiding bersambung pada pukul 2.30 petang. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan