Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tuduhan miliki ratusan juta dalam akaun luar negara oleh ‘Toyol of Selangor’ berniat jahat - Azmin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Mohamed Azmin Ali, menyifatkan tuduhan bahawa beliau dan isteri memiliki ratusan juta ringgit dalam beberapa akaun bank di luar negara, jelas berniat jahat bertujuan untuk mencemarkan reputasinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Tuduhan miliki ratusan juta dalam akaun luar negara oleh ‘Toyol of Selangor’ berniat jahat - Azmin

Menteri Ekonomi Malaysia, Azmin Ali, pada 19 Mei 2018.

Diterbitkan : 24 Jun 2018 08:35PM Dikemas Kini : 24 Jun 2018 08:59PM

SHAH ALAM: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Mohamed Azmin Ali, menyifatkan tuduhan bahawa beliau dan isteri memiliki ratusan juta ringgit dalam beberapa akaun bank di luar negara, jelas berniat jahat bertujuan untuk mencemarkan reputasinya.

Beliau berkata individu atau pihak terbabit sepatutnya tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai bukti dan bukannya membuat tuduhan tidak berasas.

“Jika mana-mana individu atau pihak yang yakin mempunyai bukti kukuh tampil kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dilakukan.

“Ini satu perkara yang tidak harus berlaku dalam suasana hari ini, ia merupakan satu fitnah untuk mencemarkan reputasi saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor hari ini (24 Jun).

Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Encik Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan dibuat oleh seorang penulis blog ‘Toyol of Selangor’, yang mendakwa bekerja dengan bekas menteri besar Selangor itu.

Dalam catatan bertarikh 18 Jun lalu, penulis blog terbabit antara lain mendakwa Encik Mohamed Azmin dan isterinya Cik Shamsidar Taharin memiliki ratusan juta ringgit dalam banyak akaun bank di luar negara.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk disiasat, Encik Mohamed Azmin menjawab: “Oh, saya (bersedia) dari dulu (lagi)… tuduhan ini bukan baru.”

Kepada soalan sama ada beliau bersedia mengisytiharkan asetnya bagi menyangkal dakwaan itu, Encik Mohamed Azmin berkata perkara tersebut diamalkan oleh pentadbiran kerajaan negeri Selangor sejak 2008 termasuk ketika beliau menjadi menteri besar.

“Dasar kita ialah semua pihak eksekutif melaporkan aset supaya ketelusan dan kebertanggungjawaban ini menjadi prinsip dalam pentadbiran,” katanya.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan