Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tuan rumah ajak 2 pekerja penghantaran buka bersama

Baru-baru ini, tersebar gambar menunjukkan dua pekerja Pos Malaysia sedang berbuka puasa bersama-sama di media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Tuan rumah ajak 2 pekerja penghantaran buka bersama

Dua pekerja Pos Malaysia diajak oleh tuan rumah untuk makan bersama ketika masuk waktu berbuka puasa. (Gambar: My Media Hub/Facebook)

Diterbitkan : 14 May 2019 01:39PM Dikemas Kini : 14 May 2019 01:47PM

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, tersebar gambar menunjukkan dua pekerja Pos Malaysia sedang berbuka puasa bersama-sama di media sosial. Sebenarnya, tiada sebarang tingkah laku yang pelik atau salah dirakamkan dalam gambar tersebut.

Namun, lapor Astro Awani, netizen tersentuh hati dengan sikap muhibbah seorang tuan rumah yang menjemput kedua-dua pekerja penghantaran itu untuk berhenti berehat dan makan sekali bersama keluarganya semasa bulan Ramadan.

Jelasnya, ia memaparkan realiti sebenar bahawa tidak semua bernasib baik untuk berbuka puasa bersama anggota keluarga tersayang.

Menurut Astro Awani, gambar itu dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook bernama Iskandar Muadz pada Jumaat (10 Mei) dan ia kini dikongsi lebih 4,500 kali oleh netizen.

Bahkan, selang beberapa jam kemudian, catatan berkenaan turut dikongsi oleh laman rasmi Facebook Pos Malaysia sendiri.

Berdasarkan catatan Facebook Iskandar Muadz itu, lapor Astro Awani, kedua-dua pekerja Pos Malaysia berkenaan difahamkan sedang bertugas lebih masa dan secara kebetulan dijemput oleh tuan rumah untuk makan bersama memandangkan sudahpun masuk waktu berbuka.

"Kesian adik-adik pos laju ni. Syukur masih ada yang baik hati panggil mereka masuk berbuka sama. Bila ditanya, mereka ini ada kerja lebih masa, sibuk sangat," tulisnya.

Beliau sempat menitipkan pesanan, menasihatkan kepada orang ramai yang membuat pembelian online supaya meningkatkan tahap kesabaran sedang para pekerja penghantaran bertungkus-lumus untuk mengirimkan barang-barangan mereka dengan cepat lagi selamat.

"Tolak ansur sikit, mereka bukan robot. Kalau ada kesilapan kecil boleh selesaikan pelan-pelan," tulis Iskandar Muadz. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan