Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Tsunami Melayu' tidak wujud, tegas Najib

Perdana Menteri Malaysia berkata bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinannya sama sekali tidak pernah mengabaikan kepentingan kaum Cina di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
'Tsunami Melayu' tidak wujud, tegas Najib

Gambar fail PM Malaysia Najib Razak. (Gambar: Lai Seng Sin/ Reuters)

Diterbitkan : 23 Apr 2018 03:49PM Dikemas Kini : 23 Apr 2018 03:50PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia berkata bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinannya sama sekali tidak pernah mengabaikan kepentingan kaum Cina di negara ini.

Masyarakat Cina diminta supaya jangan mempercayai dakwaan pembangkang, khususnya DAP, bahawa akan berlakunya ‘Tsunami Melayu’ yang akan menentang kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN), sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, itu semua hanyalah strategi untuk mempengaruhi sentimen pengundi masyarakat Cina untuk turut bersama-sama menentang kerajaan, menurut laporan Astro AWANI.

Natijahnya, tambah Pengerusi BN itu, ia akan mengakibatkan kurangnya wakil kaum itu dalam kerajaan BN di peringkat Perundangan dan Eksekutif, lantas menyebabkan kepentingan mereka tidak dapat diperjuangkan sepenuhnya.

“Hari ini populasi kaum Cina sudah mencecah 23 peratus, tetapi hanya terdapat enam peratus sahaja wakil rakyat yang menyokong kerajaan. Itu adalah sesuatu yang tidak mampan untuk jangka masa panjang dan ia hanya akan merugikan masyarakat Cina,” katanya hari ini (23 Apr).

Walaupun begitu, Perdana Menteri berkata bahawa kerajaan BN di bawah pimpinannya sama sekali tidak pernah mengabaikan kepentingan kaum Cina di negara ini, menurut laporan Astro AWANI.

“MCA dan Gerakan serta parti-parti lain di bawah BN sentiasa bekerja keras untuk menjaga kebajikan kaum Cina. Saya boleh memberi jaminan kepada anda, saya sentiasa mendapat permintaan daripada Datuk Seri Liow (Presiden MCA), dan Datuk Seri Mah (Presiden Gerakan), tentang apa lagi yang boleh dilakukan untuk menjaga kepentingan kaum Cina.

“Misalnya, saya sudah meluluskan pembinaan sepuluh sekolah Cina yang baru, dan tiga daripadanya sudahpun dirasmikan Datuk Seri Liow di Johor baru-baru ini. Apabila sekolah-sekolah Cina mengalami kekurangan guru-guru terlatih, kita turut membantu menyelesaikan masalah itu.

“Dan saya turut memberi jaminan kepada anda, bahawa Kerajaan Barisan Nasional sudah pun memasukkan pertimbangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam manifesto BN,” katanya lagi.

Astro AWANI selanjutnya melaporkan bahawa Datuk Seri Najib berkata, lebih banyak lagi yang dapat dilakukan sekiranya masyarakat Cina kembali menyokong kepimpinan beliau.

“Anda semua merupakan sebahagian besar daripada sejarah cemerlang Malaysia. Kita sudah mencapai banyak perkara, tetapi sekiranya anda bersama dengan kerajaan, saya percaya kita boleh pergi lebih jauh lagi.

“Kita tidak boleh menjadi satu komuniti sahaja. Seperti apa yang diimpikan pengasas negara ini, ia perlukan kerjasama semua pihak. Baik Melayu, Cina, India, serta adik-beradik kita di Sabah dan Sarawak, kita harus bekerja sama dalam memajukan negara ini. Itu adalah visi saya, itu adalah harapan saya, dan itu adalah janji saya,” katanya lagi.

Sumber : Agensi berita/SM/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan