Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump umum akan kerah 'ribuan' askar, polis tangani rusuhan jalanan AS

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin (1 Jun) mengumumkan beliau sedang mengerahkan ribuan tentera dan polis "bersenjata lengkap" untuk mencegah tunjuk perasaan daripada berlanjutan di Washington, di mana bangunan dan tugu berhampiran Rumah Putih telah dirosakkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump umum akan kerah 'ribuan' askar, polis tangani rusuhan jalanan AS

Presiden Trump bergambar di hadapan sebuah gereja dekat Rumah Putih pada 1 Jun (Gambar: AFP/Brendan Smialowski)

Diterbitkan : 02 Jun 2020 02:49PM Dikemas Kini : 02 Jun 2020 03:06PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin (1 Jun) mengumumkan beliau sedang mengerahkan ribuan tentera dan polis "bersenjata lengkap" untuk mencegah tunjuk perasaan daripada berlanjutan di Washington, di mana bangunan dan tugu berhampiran Rumah Putih telah dirosakkan.

"Apa yang terjadi di bandar ini malam tadi adalah sangat memalukan," katanya dalam perutusan ke seluruh negara sedang gas pemedih mata dilepaskan dan orang ramai mengadakan bantahan di tengah-tengah jalan berdekatan.

"Saya mengerahkan beribu-ribu askar bersenjata, kakitangan tentera dan pegawai penguatkuasa undang-undang untuk menghentikan rusuhan, penjarahan, serangan dan pemusnahan harta benda."

Beliau mengecam "tindakan pengganasan domestik" setelah bantahan di seluruh negara terhadap kematian seorang lelaki kulit hitam tidak bersenjata George Floyd dalam tahanan polis, bertukar menjadi rusuhan kaum yang ganas di merata negara.

"Saya mahu penganjur tindakan pengganasan ini bersedia menghadapi hukuman jenayah yang tegas dan tempoh penjara yang lama," kata Encik Trump.

Beliau menggesa para gabenor negeri untuk mengerahkan tentera secukupnya untuk mengatasi para penunjuk perasaan di jalanan sebelum beliau bergambar di hadapan sebuah gereja bertentangan Rumah Putih yang rosak akibat rusuhan untuk pihak media.

KERAH TENTERA KE ATAS RAKYAT SENDIRI

Tindakan Encik Trump itu dengan cepatnya dikecam.

"Apa yang dilakukan presiden hari ini adalah mengerahkan tentera Amerika terhadap rakyat Amerika," kata gabenor New York, Andrew Cuomo, di Twitter.

"Beliau menggunakan kuasa tentera untuk mencegah tunjuk perasaan secara aman semata-mata untuk bergambar di sebuah gereja. Ini semua tidak ubah seperti rancangan TV realiti bagi presiden ini."

Bantahan yang rata-ratanya aman pada siang hari tetapi bertukar ganas pada sebelah malam itu, tercetus akibat kematian George Floyd, seorang warga Afrika Amerika 46 tahun yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis Minneapolis setelah seorang pegawai polis kulit putih menindih leher Floyd dengan lututnya.

Pergolakan ini adalah yang paling meluas di Amerika Syarikat sejak 1968, apabila bandar-bandar mengalami kemusnahan setelah kematian ikon hak sivil Martin Luther King Jr, dan membangkitkan semula ingatan tentang rusuhan 1992 di Los Angeles setelah polis dibebaskan daripada tuduhan setelah membelasah teruk seorang warga kulit hitam Rodney King.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan