Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump ucap selamat untuk pentadbiran baru tanpa menyebut Biden

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam ucapan perpisahannya, menggesa rakyat Amerika supaya mendoakan pentadbiran baru negara itu nanti.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump ucap selamat untuk pentadbiran baru tanpa menyebut Biden

Donald Trump menyampaikan ucapan terakhirnya pada 19 Jan 2021. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 20 Jan 2021 12:00PM Dikemas Kini : 20 Jan 2021 12:02PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam ucapan perpisahannya, menggesa rakyat Amerika supaya mendoakan pentadbiran baru negara itu nanti.

Beliau bagaimanapun enggan menyebut nama bakal penggantinya, ahli Demokrat, Joe Biden.

"Minggu ini, kita akan merasmikan pentadbiran baru dan mendoakan kejayaannya dalam memastikan Amerika selamat dan maju," kata Presiden dari Presiden Republican itu menerusi rakaman video.

"Kita juga menyampaikan ucap selamat dan kita juga mahu mereka mempunyai tuah - satu perkataan amat penting."

Encik Trump enggan mengaku kalah kepada Encik Biden, yang memang dalam pilihan raya pada 3 November lalu, dengan 306 undi berbanding 232 yang diraih oleh Encik Trump.

Encik Trump juga tidak akan berjumpa dengan Encik Biden sebelum anggota Democrat itu mengangkat sumpah jawatan pada pukul 12 tengah hari Rabu (kira-kira pukul 1.00 pagi Khamis, waktu Singapura). Sebaliknya, Encik Trump akan terbang ke Florida, tempat beliau dijangka menetap selepas penggalnya di Rumah Putih berakhir.

Kempen Encik Trump berlandaskan ikrar 'Make America Great Again' (Jadikan Amerika Hebat Sekali Lagi) tetapi beliau meninggalkan jawatannya itu dengan 400,000 nyawa yang hilang akibat COVID-19.

Malah beliau memandang ringan risiko pandemik itu. Amerika Syarikat kini berdepan cabaran ekonomi akibat COVID-19 dan hubungan yang tegang dengan sekutu-sekutunya.

"Bahaya paling besar yang kita hadapi adalah hilang keyakinan diri, hilang keyakinan pada kehebatan negara," kata Encik Trump.

"Amerika bukan negara penakut dengan orang-orang yang lemah semangat yang perlu dilindungi daripada mereka yang tidak sependapat dengan kita."

Encik Trump berkurung di Rumah Putih dalam minggu-minggu terakhir penggalnya ekoran rusuhan oleh para penyokongnya di bangunan Capitol yang menyebabkan lima orang maut, termasuk seorang pegawai polis.

Rusuhan tersebut, yang berlaku menyusuli ucapan Encik Trump yang mengulangi dakwaan penipuan pilihan raya membayangi semua usaha untuk menonjolkan legasi Presiden itu pada hari-hari terakhir beliau menyandang jawatan.

Dalam rakaman ucapan itu Encik Trump menekankan aspek-aspek kepimpinannya yang dibanggakan.

"Kami lakukan apa yang patut kami lakukan sebagai sebuah pentadbiran. Malah lebih lagi," kata beliau. "Saya menggalas tanggungjawab yang sukar, membuat keputusan yang sukar kerana itu sebabnya anda melantik saya.

Encik Trump menekankan perjanjian damai Timur Tengah yang diaturkan pentadbirannya dan memuji agenda dasar luarnya.

"Kami menjalin semula perikatan-perikatan dan menyeru negara-negara di dunia supaya tegas berdepan dengan China," kata beliau.

"Saya khususnya bangga menjadi presiden pertama dalam tempoh berdekad-dekad, yang tidak memulakan sebarang perang baru."

Encik Trump, yang akan meninggalkan Rumah Putih di tengah-tengah masyarakat berpecah-belah di negara itu, mengakui rusuhan telah berlaku di Capitol. Beliau bagaimanapun mengambil masa yang lama sebelum mengecamnya.

"Semua rakyat Amerika terkejut dengan serangan terhadap Capitol. Keganasan politik adalah serangan ke atas segala-galanya yang kita hargai sebagai rakyat Amerika. Ia tidak boleh diterima sama sekali," kata Encik Trump.

Encik Trump juga memberi bayangan bahawa gerakannya akan diteruskan.

"Sekarang, sedang saya bersedia menyerahkan kuasa kepada pentadbiran baru pada tengah hari Rabu, saya mahu anda tahu bahawa gerakan yang kita mulakan baru sahaja bermula," kata Encik Trump.

"Saya keluar daripada tempat gah ini dengan hati yang setia dan gembira dan semangat yang optimis dan keyakinan yang begitu tinggi bahawa untuk negara kita, anak-anak kita, bahawa yang terbaik itu akan datang." 

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan