Images
  • Loji nuklear Iran
    Loji nuklear Iran. (Gambar: AFP/Atta Kenare)

Trump tidak jadi kenakan sekatan baru ke atas Iran, meski berat hati

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan bahawa beliau tidak akan mengenakan semula sekatan nuklear ke atas Iran, sebaliknya mengekalkan perjanjian penting 2015 buat masa ini.

Pemimpin parti Republican itu dengan berat hati bersetuju menandatangani perjanjian yang akan memastikan Washington terus komited selama lagi 120 hari. Sekalipun begitu, Encik Trump memberi amaran bahawa itu adalah "kali terakhir".

Dalam tempoh empat bulan itu, beliau mahu Kongres dan sekutu-sekutu utama Amerika dari Eropah mengadakan perjanjian baru - tanpa berunding dengan Tehran - untuk menggantikan "kesilapan teruk" dalam perjanjian sedia ada.

"Meskipun saya begitu berat hati, saya masih belum lagi menarik Amerika Syarikat keluar daripada pejanjian nuklear Iran," menurut Encik Trump dalam satu kenyataan.

"Sebaliknya, saya menggariskan dua hala tuju masa akan datang: sama ada kesilapan teruk perjanjian itu dibetulkan atau Amerika Syarikat akan menarik diri."

Perjanjian baru itu, yang dibayangkan Encik Trump sebagai sejajar dengan undang-undang Amerika Syarikat dan melibatkan Britain, Perancis serta Jerman - akan mengenakan kawalan lebih ketat ke atas Iran sekiranya pemansuhan sekatan diteruskan.

Khususnya, tempohnya tidak akan luput selepas 10 tahun seperti beberapa bahagian dalam perjanjian sedia ada. Sebaliknya ia akan mengenakan sekatan tetap ke atas bukan sahaja loji nuklear Iran malah program peluru berpandunya.

"Peruntukan ini tidak boleh ada tarikh luput. Dasar saya adalah untuk menyekat semua laluan Iran untuk memilik senjata nuklear - bukan setakat selama 10 tahun, tetapi selama-lamanya," tambah Encik Trump.

"Jika Iran tidak mematuhi peruntukan ini, sekatan nuklear Amerika akan diteruskan secara automatik."

Encik Trump juga menggesa agar Kongres meminda undang-undang Amerika Syarikat supaya Presiden tidak lagi diwajibkan untuk membuat perisytiharan setiap 90 hari tentang pendapatnya sama ada Iran mematuhi peruntukan tersebut atau untuk memperbaharui pemansuhan sekatan setiap 120 atau 180 hari.

Menteri Ehwal Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, memuat naik catatan Twitter, menyifatkan keputusan dan pengumuman Encik Trump sebagai "percubaan terdesak untuk menjejas perjanjian kukuh berbilang pihak".

Perjanjian 2015 itu, katanya, "tidak boleh dirundingkan semula". Daripada mengulangi retorik yang sudah basi, Amerika Syarikat sendiri mesti mematuhinya - sama seperti Iran".

LAPORAN BERKAITAN:

- AFP/NK/nk

Top