Images
  • John Bolton
    Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat John Bolton, bersama Presiden Donald Trump (Gambar: REUTERS)

Trump pecat ketua keselamatan negara Bolton

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa (10 Sep) mengumumkan pemecatan penasihat keselamatan negara, John Bolton.

Encik Trump mengumumkan keputusannya itu menerusi Twitter, selepas timbul laporan beberapa bulan lalu tentang perselisihan faham antara mereka berhubung pendekatan terbaik dalam menangani isu Korea Utara dan Iran.

Pertikaian terbaru antara Presiden Trump dengan Encik Bolton dilaporkan tercetus berikutan saranan Encik Trump untuk menerbangkan para pemimpin Taliban ke Kem David hujung minggu lalu bagi merundingan satu perjanjian damai.

Encik Trump berkata beliau akan mengumumkan seorang penasihat keselamatan baru minggu depan, iaitu pelantikan keempat dalam masa kurang tiga tahun.

Berikutan penyingkiran Encik Bolton, Rumah Putih menegaskan, ia tidak menandakan perubahan dalam strategi dasar luar Amerika.

Ia bagaimanapun secara umumnya dianggap sebagai satu usaha berterusan Presiden Trump untuk berunding dengan seteru-seteru Amerika Syarikat di Afghanistan, Korea Utara dan beberapa tempat lain yang bermasalah.

Encik Bolton, seorang veteran dan tokoh yang sering mencetuskan kontroversi, dikait rapat dengan penaklukan Iraq dan beberapa lagi keputusan dasar luar Amerika yang agresif. Beliau dipercayai mempengaruhi pendekatan keras Rumah Putih terhadap Iran, Venezuela dan beberapa negara lain.

- Reuters/MM/TQ/tq

Top