Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump, Moon bincang ancaman mendadak Kim Jong Un mahu batalkan sidang puncak

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in hari ini (20 Mei) membincangkan ancaman yang dibuat oleh Korea Utara baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump, Moon bincang ancaman mendadak Kim Jong Un mahu batalkan sidang puncak

Encik Trump dan Encik Moon. (Gambar: AFP/JIM WATSON)

Diterbitkan : 20 May 2018 05:02PM Dikemas Kini : 20 May 2018 05:05PM

SEOUL: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in hari ini (20 Mei) membincangkan ancaman yang dibuat oleh Korea Utara baru-baru ini, untuk membatalkan sidang puncak pertama dan bersejarah dengan Washington. Demikian menurut pejabat presiden Seoul.

Selepas beberapa minggu hubungan Korea Selatan dan Korea Utara kelihatan semakin baik, Pyongyang secara tiba-tiba mengancam untuk membatalkan sidang puncak dengan Amerika yang dijadual diadakan pada bulan depan.

Ini disebabkan tuntutan Amerika Syarikat agar Pyongyang "secara sepihak melucutkan senjata nuklearnya", menurut agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

Korea Utara juga pada saat-saat akhir sudah membatalkan mesyuarat peringkat tinggi dengan Korea Selatan sebagai membantah latihan tentera bersama antara Washington dengan Seoul.

Menerusi panggilan telefon hari ini, Encik Trump dan Encik Moon "bertukar-tukar pandangan tentang pelbagai tindakan yang diambil Korea Utara baru-baru ini", menurut pejabat Encik Moon menerusi satu kenyataan.

Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk "bekerjasama" bagi menjayakan sidang puncak bersejarah yang akan diadakan di Singapura pada 12 Jun nanti.

Sidang puncak tersebut adalah pertemuan pertama antara seorang Presiden Amerika Syarikat dengan pemimpin Korea Utara.

Pendirian Korea Utara yang berubah secara mendadak itu berlaku setelah kedua-dua negara memaparkan hubungan muhibah selama beberapa minggu, di mana Encik Kim Jong Un mengadakan sidang puncak bersejarah dengan Encik Moon dan bertemu dengan Presiden China Xi Jinping sebanyak dua kali.

Di sidang puncak dramatik yang diadakan pada bulan lalu di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara, Encik Kim dan Encik Moon berikrar untuk melucutkan senjata nuklear dan menandatangani perjanjian damai.

Menjelang sidang puncak dengan Amerika Syarikat, Pyongyang juga membangkitkan harapan dengan mengumumkan bahawa ia akan memusnahkan tapak ujian nuklearnya pada minggu depan.

Namun janji tersebut terbuka kepada tafsiran kedua-dua pihak. Korea Utara sudah membangunkan senjata atom sejak berdekad-dekad lamanya, dengan kemuncaknya pada tahun lalu menerusi ujian nuklear keenam.

Sejauh ini, ujian tersebut adalah yang paling besar dan pelancaran peluru berpandunya yang boleh sampai ke Amerika Syarikat. 

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan