Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump kerah Pompeo ke Riyadh berhubung kes Khashoggi; Saudi mungkin persalahkan pegawai

Arab Saudi sedang bersiap sedia untuk mengaku bahawa wartawan rakyat negara itu, Jamal Khashoggi mati semasa disoal siasat.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump kerah Pompeo ke Riyadh berhubung kes Khashoggi; Saudi mungkin persalahkan pegawai

Seorang wartawan di luar konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki. (Gambar: Murad Sezer/Reuters)

Diterbitkan : 16 Oct 2018 07:47AM Dikemas Kini : 16 Oct 2018 07:52AM

ANKARA/WASHINGTON: Arab Saudi sedang bersiap sedia untuk mengaku bahawa wartawan rakyat negara itu, Jamal Khashoggi mati semasa disoal siasat.

Demikian menurut laporan-laporan agensi berita CNN dan New York Times pada Isnin (15 Okt) setelah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump membayangkan bahawa "para pembunuh upahan" mungkin bertanggungjawab atas kehilangan Encik Khashoggi.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo sedang dalam perjalanan ke Arab Saudi bagi mengadakan perbincangan dengan pemimpinnya, Raja Salman mengenai kes kehilangan wartawan rakyat negara itu.

Encik Khashoggi adalah seorang penulis ruang di Washington Post dan pengkritik paling lantang Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Encik Pompeo melakukan lawatan itu menyusuli perbincangan melalui panggilan telefon antara Presiden Trump dengan Raja Salman.

Encik Khashoggi dilaporkan hilang setelah memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul dua minggu lalu untuk mendapatkan dokumen-dokumen perkahwinannya.

Menukil dua sumber yang tidak dikenal pasti, CNN melaporkan semalam (15 Okt) bahawa Arab Saudi sedang menyediakan satu laporan yang akan mengaku bahawa Encik Khashoggi dibunuh setelah disoal siasat.

Kerajaan Arab Saudi bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi memberikan komen terhadap laporan CNN itu.

"Saya dimaklumkan mengenai laporan itu, tetapi tiada sesiapa yang tahu sama ada ia adalah laporan rasmi," kata Presiden Trump kepada para wartawan tanpa menerangkan dengan lebih lanjut.

Di Istanbul, para penyiasat polis Turki sudahpun memasuki konsulat Arab Saudi di mana Encik Khashoggi dilihat buat kali terakhir pada 2 Oktober lalu.

Buat masa ini, masih belum jelas sama ada mereka berhasil menemui sesuatu. 

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan