Images
  • donald trump ueli maurer
    Presiden Donald Trump mengalu-alukan kedatangan Presiden Switzerland Ueli Maurer di Rumah Putih di Washington, DC. (Gambar: Manuel Balce Ceneta/AP Photo)

Trump harap AS tidak akan berperang dengan Iran

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Khamis (16 Mei) bahawa beliau berharap negaranya tidak akan berperang dengan Iran. Beliau memberi komen sedemikian ketika bertemu dengan Presiden Switzerland Ueli Maurer di mana negara tersebut bertindak sebagai saluran diplomatik antara kedua-dua Amerika dengan Iran.

Apabila ditanya oleh para wartawan sama ada Washington akan berperang dengan Tehran, Encik Trump menjawab "semoga tidak" sedang beliau mengalu-alukan lawatan Encik Maurer ke Rumah Putih.

Ketegangan memuncak sejak kebelakangan ini dengan keprihatinan meningkat mengenai potensi konflik Amerika-Iran. Awal minggu ini, Amerika Syarikat memanggil balik beberapa kakitangan diplomatik dari kedutaannya di Baghdad berikutan serangan ke atas empat kapal tangki minyak di Teluk pada hujung minggu lalu.

Switzerland, sebuah negara berkecuali, sudah menjadi orang tengah antara Amerika Syarikat dengan Iran yang tidak mempunyai hubungan diplomatik sejak sekian lama.

Kenyataan Rumah Putih turut mendedahkan bahawa kedua-dua pemimpin membincangkan "pelbagai isu antarabangsa termasuk krisis di Timur Tengah dan Venezuela".

Menurut kenyataan tersebut: "Presiden Trump melahirkan penghargaan atas peranan yang dimainkan Switzerland dalam memudahkan pengantaraan antarabangsa dan hubungan diplomatik bagi pihak Amerika Syarikat."

Menukil para pegawai Amerika di mana nama mereka tidak didedahkan, The Washington Post melaporkan pada lewat Rabu bahawa Encik Trump lebih memilih laluan diplomatik dengan Iran dan perbincangan langsung bersama para pemimpinnya tetapi khuatir sesetengah penasihat beliau mendesak untuk memulakan peperangan. 

- REUTERS/FZ/fz

Top