Images
  • APEC
    Para pemimpin semasa sesi bergambar di Sidang Puncak APEC di Danang, Vietnam.

Trump, Duterte bertemu kali pertama di sidang puncak APEC

DANANG, Vietnam: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bertemu dengan Presiden Filipina Rodrigo Duterte buat pertama kali di sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Vietnam hari ini (11 Nov).

Pertemuan itu "ringkas tetapi mesra", seorang jurucakap Encik Duterte, Harry Roque, memberitahu para wartawan.

"Kedua-dua pemimpin itu gembira akhirnya dapat bertemu empat mata," kata beliau.

Encik Trump memberitahu Encik Duterte "jumpa lagi esok," kata Encik Roque.

Kedua-dua pemimpin sedang berada di Danang, Vietnam untuk menghadiri sidang puncak APEC.

Encik Trump akan ke Manila esok (12 Nov) untuk menghadiri sidang puncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada rangka terakhir lawatan 12 harinya ke Asia.

Rabu lalu (8 Nov) Encik Duterte - yang kadang-kala disifatkan sebagai "Trump Timur" disebabkan pendekatannya yang kasar dan sering berubah-ubah - berkata beliau akan memberitahu presiden Amerika Syarikat supaya "berhenti" jika beliau membangkitkan isu-isu hak kemanusiaan apabila mereka bertemu.

Lebih 3,900 rakyat Filipina sudahpun dibunuh dalam usaha Encik Duterte memerangi dadah dalam apa yang disifatkan oleh polis sebagai "langkah mempertahankan diri".

Para pengkritik berkata pembunuhan itu dilakukan tanpa sebarang
rasa tanggungjawab dan ini dinafikan oleh polis.

Namun Encik Trump, yang dikritik di negaranya sendiri kerana mengabaikan isu-isu hak kemanusiaan di luar negara, pada bulan Mei lalu, memuji Encik Duterte kerana "menangani masalah dadah dengan bagitu baik".

Hak-hak kemanusiaan, kedaulatan dan keperluan undang-undang adalah antara topik yang akan dibincangkan oleh Encik Trump dan Encik Duterte semasa mengadakan rundingan dua hala, menurut duta Amerika ke Manila, Sung Kim pada bulan lalu. 

- Reuters/NK/nk

Top