Images
  • huawei
    Gambar fail logo Huawei di sebuah pusat beli-belah di Shanghai, China. (Gambar fail: Aly Song/Reuters)

Trump dijangka tandatangani arahan eksekutif, larang syarikat telekom AS guna Huawei

WASHINGTON: Tidak lama lagi, syarikat-syarikat Amerika Syarikat mungkin dilarang berurus niaga dengan syarikat telekom besar China iaitu Huawei.

Presiden Amerika Donald Trump dijangka menandatangani satu arahan eksekutif seawal minggu depan bagi mengenakan larangan tersebut.

Beliau mahu menghentikan penggunaan peralatan telekomunikasi syarikat-syarikat yang menimbulkan risiko keselamatan terhadap Amerika.

Menurut sumber-sumber yang dihubungi agensi berita Reuters, arahan Presiden Trump itu bagaimanapun tidak menyebut secara khusus nama negara atau syarikat yang dimaksudkan.

Sungguhpun begitu, Huawei besar kemungkinan termasuk dalam senarai larangan tersebut. Washington percaya peralatan telekomunikasi buatan Huawei boleh digunakan pihak China untuk melakukan perisikan.

Pada masa ini, Huawei mempunyai keupayaan teknologi 5G yang paling canggih dan murah di dunia.

Bagi menyangkal tuduhan terhadap syarikatnya, Pengerusi Huawei Liang Hua berkata beliau sedia menandatangani perjanjian "tidak ada perisikan" dengan pemerintah-pemerintah lain.

Inilah kali pertama ikrar sedemikian dibuat secara terbuka.

Amerika juga sudah mendesak sekutu-sekutunya di Eropah supaya tidak melibatkan Huawei dalam membangunkan rangkaian telekomunikasi 5G di negara masing-masing.

- REUTERS/MU/fz

Top