Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump didakwa kali kedua susuli rusuhan di Capitol

Majoriti Dewan Perwakilan Amerika Syarikat sudahpun mengambil tindakan untuk mendakwa Presiden Donald Trump yang disifatkan sebagai "bahaya yang jelas dan nyata" pada Rabu (13 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Trump didakwa kali kedua susuli rusuhan di Capitol

Presiden Donald Trump. (Gambar: AP/Gerald Herbert)

Diterbitkan : 14 Jan 2021 07:08AM Dikemas Kini : 14 Jan 2021 07:10AM

WASHINGTON: Majoriti Dewan Perwakilan Amerika Syarikat sudahpun mengambil tindakan untuk mendakwa Presiden Donald Trump yang disifatkan sebagai "bahaya yang jelas dan nyata" pada Rabu (13 Jan).

Ini sekali gus dengan rasminya mendakwa Encik Trump, yang cuma tinggal beberapa hari sahaja sebagai presiden, atas tuduhan mengapi-apikan pemberontakan selang seminggu selepas para penyokongnya merusuh dan memecah masuk bangunan Capitol.

Dewan dengan majoriti anggota Democrat, iaitu 232-197, memudahkan laluan untuk mengambil tindakan tersebut menerusi pengundian bersejarah dalam hari-hari terakhir bagi penggal pentadbiran empat tahun Encik Trump.

Sebaliknya, isu berhubung nasib Encik Trump dalam politik beralih ke Senat, yang masih dalam tangan rakan-rakan anggota Republican buat masa ini. Namun semua itu akan berubah apabila Democrat mengambil alih dewan tersebut pada hujung bulan ini.

Seramai 10 anggota Republican menyertai Democrat dan menyokong pendakwaan tersebut di Washington.

Pasukan Pengawal Negara dikerahkan ke merata ibu kota Washington dan jalan raya utama. Tempat-tempat awam juga dikepung.

Dalam bangunan Capitol sendiri, para pengawal juga sudah bersiap siaga dengan senjata mereka, sebahagiannya sempat tidur seketika awal pagi Rabu di bawah arca dan lukisan bersejarah.

Undi itu, yang dibuat tujuh hari sebelum bakal presiden Joe Biden mengangkat sumpah jawatan, menjadikan Encik Trump presiden Amerika yang pertama didakwa sebanyak dua kali.

Kejatuhan Encik Trump itu berpunca daripada ucapannya pada 6 Januari lalu kepada para penyokongnya di National Mall. Beliau menuduh Encik Biden merampas keputusan pilihan raya baru-baru ini dan apa yang para penyokongnya perlu lakukan adalah berarak ke Kongres dan menunjukkan "kekuatan" mereka.

Didorong oleh teori-teori konspirasi Encik Trump selama berminggu-minggu, para penyokongnya merusuh dan memecah masuk bangunan Capitol, meragut nyawa seorang pegawai polis, memusnahkan perabot dan memaksa para penggubal undang-undang mencari perlindungan dan mengganggu proses bagi mengesahkan kemenangan Encik Biden.

Salah seorang perusuh juga mati ditembak dan lagi tiga mati disebabkan oleh "kecemasan perubatan". Ini bermakna seramai lima orang maut dalam insiden tersebut.

"Presiden Amerika Syarikat menghasut pemberontakan ini, tunjuk perasaan terhadap negara kita," tegas Speaker Dewan Nancy Pelosi sebelum pengundian itu.

"Beliau mesti disingkirkan. Beliau adalah bahaya yang jelas dan nyata kepada negara yang kita cintai." 

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan