Images
  • trump elex
    Donald Trump semasa selingan komersil ketika mengadakan satu forum bersama sekumpulan pengundi di Florida, Amerika Syarikat, pada 15 Okt 2020. (Gambar: Carlos Barria/REUTERS)

Trump, Biden pergiat kempen pilihan raya sedang kes COVID-19 di AS lepasi 8 juta

WASHINGTON: Jumlah jangkitan COVID-19 di Amerika Syarikat sudah melepasi lapan juta kes. Ini menjadikannya kekal sebagai negara dengan jumlah kes jangkitan dan kematian akibat virus korona baru yang terbanyak di dunia.

Pakar-pakar memberi amaran kemungkinan berlakunya penularan lebih teruk terutamanya di barat tengah negara tersebut sedang cuaca bertambah sejuk.

Harapan bahawa vaksin dapat diluluskan sebelum pilihan raya presiden pada 3 November ini pula semakin pudar.

Sementara itu, kedua-dua calon pilihan raya presiden terus menggiatkan kempen mereka dengan Presiden Donald Trump mengadakan lawatan kedua ke bahagian tengah Florida minggu ini.

Sebahagian besar tinjauan menunjukkan persaingan yang sengit di wilayah tersebut.

Pada Pilihan Raya 2016, Encik Trump mengalahkan pesaingnya, Hillary Clinton, di Florida dengan kelebihan sekitar lima peratusan mata sahaja.

Berucap di satu rapat pilihan raya, Encik Trump meramalkan sokongan padu penduduk Florida terhadapnya dan parti Republican akan menang dalam pilihan raya itu nanti.

Calon presiden parti Democrat Joe Biden pula kembali berkempen di satu lagi wilayah yang menyaksikan persaingan sengit iaitu Michigan, di mana beliau menumpukan perhatian kepada isu-isu jagaan kesihatan.

Sebelum ini, beliau mengutuk cara Encik Trump menangani pandemik COVID-19.

Seramai 22 juta rakyat Amerika, termasuk 2.2 juta penduduk di Florida, sudahpun mengundi, menurut Projek Pilihan Raya AS di Universiti Florida. Pada pilihan raya presiden 2016, sekitar 136.6 juta rakyat keluar mengundi.

Undian awal sudahpun bermula di Louisiana pada Jumaat berikutan jumlah rekod minggu ini di wilayah-wilayah dengan persaingan sengit di Georgia, North Carolina dan Texas. 

- REUTERS/MM/fz

Top