Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tragedi menimpa penerbit filem M'sia ketika menukar tayar kenderaan

Seorang penerbit filem Malaysia dilaporkan maut akibat dilanggar sebuah van ketika menukar tayar kenderaan miliknya yang pancit di Jalan Kuching berdekatan Bulatan Segambut di Kuala Lumpur pada Jumaat (24 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Tragedi menimpa penerbit filem M'sia ketika menukar tayar kenderaan

Gambar fail. (Gambar: Scott Olson/AFP)

Diterbitkan : 25 May 2019 01:22AM Dikemas Kini : 25 May 2019 01:23AM

KUALA LUMPUR: Seorang penerbit filem Malaysia dilaporkan maut akibat dilanggar sebuah van ketika menukar tayar kenderaan miliknya yang pancit di Jalan Kuching berdekatan Bulatan Segambut di Kuala Lumpur pada Jumaat (24 Mei).

Insiden itu berlaku pada pukul 4.20 pagi, lapor akhbar Harian Metro. Mokhairul Shamsul Mokhtar, 46 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepalanya.

Mokhairul Shamsul, atau lebih dikenali sebagai Asey, adalah pemilik syarikat DA Motion Media dan menerbitkan filem seram, Jodoh Syaitan.

Filem sulung beliau itu dijangka ditayangkan di pawagam pada tahun depan.

Harian Metro menukil Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Zulkifli Yahya sebagai berkata tragedi yang menimpa Mokhairul Shamsul membabitkan dua kenderaan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.

Beliau berkata pada masa itu, mangsa menghentikan kenderaan model Jip Land Cruiser berhenti di lorong kiri jalan untuk menukar tayar belakang sebelah kanan yang pancit.

Menurutnya, mangsa dipercayai keluar dari kenderaan untuk menukar tayar belakang dengan memasang lampu isyarat kecemasan.

Namun, mangsa didapati tidak meletakkan kon atau papan tanda amaran di belakang kenderaan berkenaan.

"Kemudian, datang sebuah van model Ford Spectron dipandu lelaki berusia 47 tahun dari lorong sama dan hanya melihat kenderaan mangsa terlalu dekat.

"Susulan itu, pemandu van terbabit cuba mengelak ke kanan dan menyebabkan mangsa terperanjat serta mengundur ke belakang mengakibatkan dia dilanggar van berkenaan,” kata Encik Zulkifli, seperti dipetik oleh Harian Metro.

Menurut laporan itu lagi, mangsa tercampak di atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu van dilaporkan tidak mengalami kecederaan. Siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan