Images
  • concpeion
    Bangkai bot Conception sepanjang 23 meter yang hangus diangkat keluar dari perairan berhampiran Santa Cruz Island. (Gambar: TOWBOATUS_VENTURA/Instagram/Reuters)

Tragedi kebakaran bot California: Bangkai bot hangus dikeluarkan dari dasar laut

LOS ANGELES: Sebuah bot penyelam yang terbakar lalu karam dekat pesisir California, sekali gus meragut nyawa 34 orang, dikeluarkan dari dasar lautan pada Khamis (12 Sep).

Ini sedang para pegawai keselamatan mendedahkan bahawa tiada pengawal bertugas pada malam itu seperti yang diperlukan bila kebakaran itu tercetus.

Gambar-gambar yang disiarkan di televisyen menunjukkan bangkai bot Conception sepanjang 23 meter yang hangus diangkat keluar dari perairan berhampiran Santa Cruz Island. Ia kemudian dibawa ke sebuah tempat yang tidak didedahkan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap nahas tersebut.

Conception terbakar pada sekitar 3.15 pagi pada 2 September, membunuh 33 penumpang dan seorang anak kapal yang sedang tidur di geladak bawah bot tersebut.

Menurut para pegawai Santa Barbara County, kesemua mangsa dipercayai terbunuh akibat terhidu asap kebakaran.

Mayat mangsa terakhir ditemui pada Rabu (11 Sep) dan Syerif Santa Barbara County, Bill Brown, pada Khamis (12 Sep) mendedahkan bahawa kesemua 34 mangsa sudahpun dikenal pasti.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura semalam (12 Sep) mengesahkan bahawa dua rakyat Singapura adalah antara mangsa nahas tersebut.

Dr Sunil Singh Sandhu, 45, dan Cik Tan Wei, 26, disahkan meninggal dunia dalam tragedi itu.

Enam anak kapal bot berkenaan sedang tidur apabila kebakaran itu berlaku. Lima daripada mereka berada di dalam kabin yang terletak di belakang ruang kemudi manakala seorang lagi berada di bilik tidur di geladak bawah bot berkenaan, menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat dalam laporan awal mengenai insiden tersebut.

Sebelum ini, seorang kapten Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat berkata di bawah syarat pentauliahan keselamatan, bot itu dikehendaki menugaskan seorang pengawal malam.

SIASATAN JENAYAH

Kelima-lima anak kapal yang terselamat memberitahu para penyiasat bahawa bila mereka sedar mengenai insiden itu, sudah terlalu lewat untuk menyelamatkan para penumpang termasuk seorang lagi anak kapal, Alexandra Kurtz, 26 tahun.

Pihak berkuasa yang menjalankan siasatan jenayah, sudahpun memeriksa pejabat-pejabat serta dua lagi kapal yang dimiliki oleh pemilik Conception iaitu syarikat Truth Aquatics, yang berpangkalan di Santa Barbara.

Para penyiasat belum lagi menentukan punca nahas tersebut, yang disifatkan sebagai salah satu tragedi maritim paling dahsyat yang pernah berlaku di California, menurut laporan NTSB.

Laporan itu menyatakan, para anak kapal tidak tahu mengenai sebarang isu mekanikal atau elektrik di dalam kapal tersebut.

Pada Rabu (11 Sep), Pasukan Pengawal Pantai menggesa para pemilik dan kapten bot supaya mempertimbang untuk menghadkan penggunaan bateri litium dan alat pengecas di dalam kapal, serta mengkaji semula laluan-laluan kecemasan dan latihan bagi para penumpang.

Menurut dokumen itu, para penyiasat akan menyiasat kemungkinan kebakaran itu tercetus akibat peralatan litium atau alat pengecas di bilik-bilik tidur.

Para penumpang juga dipercayai tidak dapat menyelamatkan diri apabila api mula marak di ruang yang sempit.  

Top