Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trafik penumpang udara M'sia cecah 100 juta meskipun tumbuh perlahan

Trafik penumpang di Malaysia dijangka meningkat kepada antara 100.3 juta dengan 101.1 juta penumpang pada 2018 walaupun kadar pertumbuhan dianggarkan antara 1.1 peratus dengan 2.2 peratus pada 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Trafik penumpang udara M'sia cecah 100 juta meskipun tumbuh perlahan

(Gambar: Lai Seng Sin/Reuters)

Diterbitkan : 23 Nov 2018 11:27AM Dikemas Kini : 23 Nov 2018 11:30AM

KUALA LUMPUR: Trafik penumpang di Malaysia dijangka meningkat kepada antara 100.3 juta dengan 101.1 juta penumpang pada 2018 walaupun kadar pertumbuhan dianggarkan antara 1.1 peratus dengan 2.2 peratus pada 2018.

Edisi ketiga Laporan Industri Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang dikenali sebagai '’Waypoint'’ melaporkan pertumbuhan satu angka yang rendah disebabkan pengurangan kapasiti domestik oleh syarikat penerbangan Malaysia.

“Pada masa sama pertumbuhan trafik antarabangsa dijangka mengatasi pertumbuhan trafik domestik untuk tahun ketiga berturut-turut.

“Laporan industri yang dikeluarkan baru-baru ini memaparkan unjuran suruhanjaya itu terhadap industri, gambaran makro ke atas sektor itu, analisis mengenai struktur dan prestasi industri dan kajian semula segmen perkhidmatan pengendalian di Malaysia,” kata Pengerusi Eksekutif MAVCOM Dr Nungsari Ahmad Radhi dalam satu kenyataan pada Khamis (22 Nov).

Beliau berkata laporan industri Waypoint itu merupakan sebahagian daripada komitmen suruhanjaya itu sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi sektor itu, bertujuan mewujudkan industri penerbangan yang lebih kukuh di Malaysia dengan memberi pemahaman yang lebih mendalam mengenai sektor itu secara keseluruhan.

Malaysia mencatatkan jumlah penumpang antarabangsa dan domestik seramai 50.3 juta pada separuh pertama 2018 dengan pertumbuhan lebih rendah daripada unjuran awal MAVCOM sebanyak 6.5 peratus hingga 7 peratus.

Pertumbuhan trafik penumpang sebahagian besarnya didorong oleh trafik antarabangsa pada separuh pertama 2018 berikutan syarikat penerbangan Malaysia meningkatkan kapasiti tempat duduk antarabangsa sebanyak 8.8 peratus.

Pada masa sama, kapasiti tempat duduk domestik susut sebanyak 4.0 peratus berikutan langkah rasionalisasi rangkaian laluan oleh dua syarikat penerbangan Malaysia yang mengurangkan jumlah kapasiti domestiknya sebanyak 28.1 peratus.

Pertumbuhan trafik penumpang pada 2019 diunjurkan antara 2.2 peratus dengan 3.3 peratus, disokong oleh penggunaan swasta dan kadar tambang berpotensi lebih rendah berikutan syarikat penerbangan menukar tumpuan rangkaian laluan mereka kepada destinasi jarak pendek dan sederhana berbanding destinasi jarak jauh.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan