Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

TPP diteruskan tanpa Amerika Syarikat

Negara-negara dalam Kerjasama Rentas Pasifik (TPP) bersetuju dengan ciri-ciri asas perjanjian perdagangan itu untuk terus melangkah ke hadapan tanpa Amerika Syarikat (AS), menurut para pegawai hari ini (11 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Nov 2017 03:32PM Dikemas Kini : 11 Nov 2017 09:36PM

DANANG, Vietnam: Negara-negara dalam Kerjasama Rentas Pasifik (TPP) bersetuju dengan ciri-ciri asas perjanjian perdagangan itu untuk terus melangkah ke hadapan tanpa Amerika Syarikat (AS), menurut para pegawai hari ini (11 Nov). Ini menyusuli tentangan saat-saat terakhir dari Kanada yang menimbulkan keraguan baru tentang kemampanan perjanjian tersebut.

Rundingan yang biasanya hangat diadakan di luar sidang puncak para pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di sebuah resort di Danang, Vietnam di mana Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan beberapa pemimpin lain mengadakan mesyuarat mereka hari ini.

“Kami sudah mengatasi bahagian yang paling rumit,” kata menteri perdagangan Vietnam, Encik Tran Tuan Anh dalam satu sidang media.

Perjanjian yang masih perlu dimuktamadkan itu kini akan dinamakan Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP), katanya.

Menteri Ekonomi Jepun Toshimitsu Motegi berkata bahawa beliau berharap dengan meneruskan perjanjian perdagangan itu, ia akan dapat memujuk Amerika Syarikat.

Selama ini, Jepun berusaha keras untuk melobi TPP yang bertujuan untuk menghapuskan tarif ke atas hasil perindustrian dan ternakan daripada 11 negara dalam kerjasama itu yang secara keseluruhannya mendatangkan hasil perdagangan sebanyak AS$356 bilion (S$484 bilion) tahun lalu. Antara sebab Jepun giat berbuat demikian adalah untuk mengimbangi pengaruh China di Asia yang semakin meningkat.

Bagi mencapai persetujuan untuk meneruskan perjanjian itu, 20 peruntukan dalam perjanjian asal akan digantung, kata Encik Motegi. Perjanjian itu akan berkuat kuasa selepas disahkan oleh enam daripada 11 anggotanya.

Semalam (10 Nov), sebarang persetujuan kelihatan seperti tidak dapat dicapai setelah satu sidang puncak bagi pemimpin-pemimpin TPP dibatalkan selepas Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau tidak menghadirinya. Menteri Perdagangan Kanada kemudian menjelaskan bahawa PM Traudeau tidak hadir kerana “kekeliruan mengenai jadual.”

KERAGUAN KANADA

Kanada yang merupakan ekonomi kedua terbesar di belakang Jepun berbanding negara-negara yang masih menyokong TPP, menyatakan bahawa ia ingin memastikan perjanjian tersebut akan melindungi pekerjaan.

Selain pemotongan tarif, perjanjian TPP itu juga mempunyai peruntukan bagi melindungi persekitaran, hak pekerja dan hak intelektual – iaitu salah satu perkara yang menjadi keprihatinan selepas Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian itu.

Kedudukan Kanada semakin rumit kerana pada masa yang sama, ia sedang merundingkan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara dengan pentadbiran Trump.  

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan